GARY bersama Ahli Majlis FAP sebulat suara menolak peletakan jawatan Zairil Khir Johari sebagai Presiden FAP. FOTO ihsan FAP
GARY bersama Ahli Majlis FAP sebulat suara menolak peletakan jawatan Zairil Khir Johari sebagai Presiden FAP. FOTO ihsan FAP
Rudy Syareme Sheriffudin


PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) menolak peletakan jawatan Presiden FAP Zairil Khir Johari Isnin lalu, dalam mesyuarat tergempar FAP di Georgetown, hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan Naib Presiden FAP, Datuk Gary Nair dan beliau bersama Ahli Majlis FAP sebulat suara menolak peletakan jawatan itu atas beberapa sebab.

Gary berkata, FAP telah mewujudkan satu jawatankuasa khas untuk berjumpa dengan Zairil bagi memohon pertimbangan semula keputusan dibuatnya itu.

Beliau berkata, perjumpaan khas akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk memohon agar Zairil terus memimpin sehingga Mesyuarat Agong FAP diadakan pada November depan.

Katanya, keputusan Zairil meletak jawatan cukup mengejutkan kerana FAP masih memerlukan komitmennya termasuk pembangunan FAP dalam tempoh dua bulan ini.

"Banyak perkara dan komitmen perlu dilaksanakan termasuk pembayaran gaji pemain dan kos pengurusan FAP yang lain," katanya dalam sidang media di Pejabat FAP di Georgetown, malam ini.

Isnin lalu, Zairil mengumumkan meletak jawatan sebagai memikul tanggungjawab di atas kegagalan pasukan Pulau Pinang untuk kekal dalam saingan Liga Super.

Menurutnya, biarpun perjalanan kariernya sebagai Presiden FAP agak singkat namun banyak yang telah diharungi termasuk segala pahit dan manis.

Katanya, pihaknya sedaya upaya melakukan yang terbaik apabila pada peringkat awal membawa masuk jurulatih asing, Ashley Westwood yang mempunyai rekod cemerlang namun gagal membuahkan hasil.

"Tindakan menggantikan Westwood dengan lagenda bola sepak tempatan, Zainal Abidin Hassan juga tidak berhasil," katanya.

Berita berkaitan:

Zairil letak jawatan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2017 @ 11:37 PM