SKUAD Harimau Kumbang gagal kekal bersaing di Liga Super.
SKUAD Harimau Kumbang gagal kekal bersaing di Liga Super.
HM Digital

Kuala Lumpur: “Jangan pilih badut jadi pemimpin, kalau tidak sampai bila-bila pun nasib bola sepak Pulau Pinang tidak akan berubah.”

Ungkapan itu keluar daripada mulut Datuk M Kuppan dengan lembut tapi sangat sinis serta mendalam untuk menggambarkan kekecewaannya terhadap situasi bola sepak negeri itu kebelakangan ini.

Jatuhnya Pulau Pinang ke Liga Perdana dan dibebani pula dengan kemelut dalaman persatuan bola sepak negeri itu, tidak susah untuk memahami mengapa Kuppan selaku bekas pemain dan jurulatih pasukan berkenaan makan hati.

“Apa sudah jadi dengan pasukan ini?” tanya Kuppan. “Dulu Pulau Pinang antara pasukan yang amat disegani sama seperti Selangor tapi sekarang sangat teruk.

“Kami juga berjaya melahirkan pemain hebat seperti (Datuk) Namat (Abdullah), (Datuk) Shukor (Salleh), Ali (Bakar) dan Isa Bakar tapi sekarang siapa pemain negeri ini yang boleh dibanggakan?

“Pentadbiran FAP (Persatuan Bolasepak Pulau Pinang) pun nampak bercelaru sampai pemimpinnya meletak jawatan,” katanya merujuk kepada peletakan jawatan Presiden FAP, Zairil Khir Johari, Oktober lalu disusuli Naib Presiden, Datuk Gary Nair, kelmarin.

Kuppan, 79, dua kali memenangi Piala Malaysia bersama Pulau Pinang sebagai pemain pada 1958 dan jurulatih pada 1974 berkata, sudah sampai masanya FAP memilih pemimpin yang memiliki jiwa bola sepak untuk mengubah nasib skuad negeri itu.

“Saya rasa dengan kekosongan jawatan yang berlaku sekarang, ia masa terbaik untuk melakukan transformasi dalam FAP.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 5:23 AM