Zairil letak jawatan serta merta.FOTO DANIAL SAAD
Zairil letak jawatan serta merta.FOTO DANIAL SAAD
Rudy Syareme Sheriffudin


PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari meletak jawatan secara rasmi, hari ini.

Zairil berkata, peletakan jawatannya sebagai memikul tanggungjawab di atas kegagalan pasukan Pulau Pinang untuk kekal dalam saingan Liga Super, musim depan.

Beliau berkata, menjelang penutupan tirai musim bola sepak Liga Malaysia 2017, harapan Pulau Pinang untuk kekal di Liga Super sudah tertutup biarpun segala usaha sudah dicuba.

"Biarpun pahit untuk menerima hakikat saya mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan pasukan Pulau Pinang musim ini dan meletak jawatan sebagai presiden berkuat kuasa serta-merta.

"Walaupun perjalanan saya dalam FAP adalah singkat, namun banyak yang diharungi termasuk segala pahit dan manis," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zairil berkata, pihaknya dan pengurusan FAP sudah melakukan yang terdaya dan terbaik apabila pada peringkat awalnya membawa masuk jurulatih asing, Ashley Westwood yang mempunyai rekod cemerlang namun tidak berhasil.

Beliau berkata, pihaknya kemudian menukar strategi dengan menggantikan Westwood dengan legenda bola sepak tempatan, Zainal Abidin Hassan namun nasib masih tidak menyebelahi Pulau Pinang.

Katanya, dia melahirkan rasa bangga apabila di bawah seliaannya berjaya mewujudkan pasukan bawah 16 tahun dan 14 tahun untuk mewakili FAP.

"Pasukan bawah 16 tahun berjaya melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan JSSL Pro-7s di Singapura, manakala pasukan bawah 14 tahun menjadi naib juara Piala Dunia Remaja Gothia di China dan mereka adalah harapan untuk Pulau Pinang.

"Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pegawai dan warga FAP di setiap peringkat termasuk Piala Presiden dan Piala Belia serta kerajaan negeri atas sokongan dana yang diberikan.

"Terima kasih kepada penyokong pasukan Harimau Kumbang yang sentiasa cekal bersama pasukan tidak kira apa juga keadaan dan sebagai peminat akan sentiasa mendoakan kejayaan buat pasukan Pulau Pinang di masa akan datang,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Oktober 2017 @ 6:38 PM