Mirnawan (kanan) akui pilihan Roelant terhad. FOTO HM Digital
Mirnawan (kanan) akui pilihan Roelant terhad. FOTO HM Digital
Saiful Affendy Sapran


KUALA LUMPUR: Bekas penyerang hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi mengakui ketiadaan Shahril Saabah mungkin menyukarkan ketua jurulatih, Roelant Oltmans dalam membuat pilihan pemain untuk mengambil pukulan sudut penalti pada Piala Dunia di Bhubaneswar, India dari 28 November hingga 16 Disember depan.

Ini kerana katanya, selain menjadi tonggak utama skuad negara, Shahril juga menggalas tugas selaku pakar pukulan sudut penalti bersama Razie Rahim, Faizal Saari dan Syed Syafiq Syed Cholan.

Ketiadaan Shahril yang mengalami kecederaan hamstring menyaksikan Oltmans hanya mempunyai tiga pilihan pemain untuk melakukan pukulan sudut penalti.

“Dalam setiap perlawanan, pasukan perlu sentiasa mempunyai dua pakar pukulan sudut penalti. Jika ada empat pemain yang mampu menggalas tanggungjawab itu, ia lebih bagus,” katanya.

Bagaimanapun jelas Mirnawan, selain itu, skuad negara dilihat berada pada prestasi terbaik untuk beraksi di Piala Dunia.

“Bagi saya semua pemain yang terpilih adalah yang terbaik kita ada ketika ini,” katanya.

Beliau berpendapat sasaran skuad negara untuk menamatkan saingan di Bhubaneswar di kedudukan ke-10 terbaik adalah realistik.

“Format pertandingan juga dilihat membantu kita untuk memenuhi misi ini.

“Jika berjaya menamatkan saingan di kedudukan 10 terbaik ia pencapaian yang cukup baik. Rekod di Piala Dunia sebelum ini pun kita berada di antara kedudukan itu,” katanya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan D bersama tiga bekas juara Belanda, Jerman dan Pakistan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 7:12 PM