STEPHEN
STEPHEN
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Malaysia secara matematik sudah hampir layak ke kejohanan hoki Piala Dunia 2018 selepas menang 5-1 ke atas China semalam, namun nada ketua jurulatih skuad hoki negara Stephen Van Huizen nampaknya bersungguh-sungguh mahu anak buahnya menewaskan India pada aksi suku akhir hari ini, sekali gus mengesahkan tiket secara merit ke kejohanan berprestij itu.

Namun, tugas itu pasti sukar kerana India sudah tentu tidak mahu rekod mereka tercalar sekali lagi selepas skuad negara menewaskan mereka 1-0 pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, April lalu yang meranapkan impian mereka mara ke final.

“India pasukan yang bagus. Mereka miliki segala-galanya termasuk pakar pukulan sudut penalti Harmanpreet Singh.

“Saya pasti mereka juga mahu menewaskan kita selepas tewas di Piala Sultan Azlan Shah.

“Kami akan tampil selaku pasukan bukan pilihan, tapi pasti tidak akan beri laluan mudah kepada mereka,” katanya.

Berdasarkan format kejohanan, lima pasukan terbaik setiap saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di London dan Johannesburg, Afrika Selatan akan secara automatik ke Piala Dunia 2018.

Namun, jika ada antara lima pasukan yang sudah layak itu menjadi juara pada lima kejohanan benua selepas ini, maka slot itu akan diberikan kepada pasukan yang menamatkan saingan Separuh Akhir Liga Hoki Dunia di kedudukan keenam dan seterusnya.

Bermakna pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan keenam sehingga kelapan masih mempunyai peluang cukup cerah untuk ke Piala Dunia.

Pada perlawanan berlangsung di Pusat Hoki dan Tennis Lee Valley London semalam, skuad negara berada di depan seawal minit kedua menerusi jaringan padang penyerang utama Faizal Saari.

Muhammad Najmi Farizal Jazlan menjadikan kedudukan 2-0 apabila menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-12 sebelum pertahanan, Muhammad Razie Abdul Rahim menambah dua gol masing-masing minit ke-19 dan 27 untuk meletakkan Malaysia selesa mendahului 4-0.

China memperoleh gol tunggal minit ke-43 hasil penalti stroke Du Talake, tetapi pemain tengah Fitri Saari mengesahkan menyumbat gol kelima Malaysia minit ke-51.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Jun 2017 @ 4:05 AM