AKSI pemain negara mengekang kemaraan pemain Bangladesh. FOTO MHC
AKSI pemain negara mengekang kemaraan pemain Bangladesh. FOTO MHC
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Skuad hoki senior negara mengekalkan rekod bersih pada saingan peringkat Kumpulan B, Piala Asia selepas membelasah Bangladesh 8-1 di Stadium Hoki Gelora Bung Karno, sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Malaysian Tigers muncul juara Kumpulan B selepas turut meraih kemenangan 7-0 ke atas Oman pada perlawanan pertama dan mengatasi Korea Selatan 5-4 dalam perlawanan kedua.

Walaupun sudah mengesahkan tempat ke kelompok Super 4 yang membabitkan empat pasukan terbaik dengan format liga sepusingan selepas ini, anak buah Arul Selvaraj nyata tidak memberikan peluang kepada Bangladesh untuk melakar kemenangan buat kali pertama.

Malaysian Tigers dihadiahkan penalti stroke seawal minit ke-4 yang disudahkan dengan baik oleh Muhammad Razie Abd Rahim sebelum pakar pukulan sudut penalti negara itu menambah gol kedua minit ke-14.

Bagaimanapun Bangladesh yang dibimbing bekas pemain negara, Iman Gobinathan merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti Ashraful Islam minit ke-21.

Bintang skuad hoki negara, Faizal Saari kembali meletakkan Malaysia di kedudukan selesa apabila menjaringkan gol padang minit ke-24 sebelum Razie mencipta hatrik sekali gus gol keempat skuad negara hasil pukulan sudut penalti.

Bersambung babak kedua, Faizal yang juga pakar pukulan sudut penalti skuad negara, berjaya menambah gol kelima minit ke-31.

Bangladesh cuba memperkemaskan rentak permainan selepas itu namun ia hanya bertahan selama 10 minit sebelum seorang lagi pakar pukulan sudut penalti negara, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menambah gol keenam minit ke-41.

Mendahului 6-1, skuad negara nyata tidak memberi belas ihsan kepada Bangladesh apabila Faizal menambah gol ketujuh hasil jaringan padang minit ke-46 sekali gus hatrik untuknya sebelum Mohamad Ashran Hamsani melengkapkan kemenangan bergaya Malaysian Tigers apabila menyumbang gol kelapan minit ke-60.

Untuk rekod, sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1982, Malaysia belum pernah muncul juara dengan pencapaian terbaik adalah naib juara pada 2017 yang juga edisi terakhir kejohanan itu apabila tewas 1-2 kepada India di Dhaka, Bangladesh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2022 @ 5:53 PM