Jugjet Singh di Dhaka


PENGARAH Teknikal Konfederasi Hoki Malaysia (MHF), Terry Walsh (gambar) memiliki mata yang tajam dan ia mungkin dapat membantu Malaysia beraksi buat kali pertama di final Piala Asia sejak 1982.

Hadir menyaksikan perlawanan membabitkan India, Pakistan dan Korea Selatan di Stadium Maulana Bhasani ketika saingan separuh akhir liga sepusingan Piala Asia, Walsh merasakan ini peluang terbaik Malaysia untuk menjadi yang terbaik di Asia.

“Selain daripada perlawanan menentang India, Malaysia bermain lebih baik berbanding pasukan lain dalam kejohanan ini dan saya percaya ini adalah peluang terbaik kita untuk melakar kejayaan.

“Kita mempunyai kekuatan untuk menewaskan Korea dengan syarat pemain kekal tenang dan fokus terhadap tugasan,” kata Walsh.

Walsh mahu pemain negara memanfaatkan sepenuhnya setiap pukulan sudut penalti yang diperoleh.

“Jika pasukan itu mendapat lebih 10 pukulan sudut penalti dalam satu perlawanan tetapi hanya menjaringkan satu gol, sukar untuk memenangi perlawanan. Kita perlu memaksimumkan peluang menerusi pukulan sudut penalti esok,” kata Walsh.

Faizal Shaari ketika ini berkongsi kedudukan sebagai penjaring terbanyak kejohanan bersama pemain India, Harmanpreet Singh dengan enam gol.

Dia menjaringkan empat gol padang dan dua menerusi pukulan sudut penalti.

Walsh merasakan pengalaman daripada kejohanan ini perlu dimanfaatkan bagi beraksi lebih baik pada Sukan Asia di Jakarta, Indonesia, tahun depan.

Pemenang pingat emas Sukan Asia akan layak secara automatik ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kali terakhir Malaysia beraksi di temasya berprestij itu pada 2000 di Sydney.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Oktober 2017 @ 8:45 PM