Ajitpal Singh


BEKAS atlet Olimpik, Khoo Cai Lin (gambar) memutuskan untuk bersara daripada kariernya selaku perenang negara.

Cai Lin yang juga perenang utama acara pertengahan dan jarak jauh, mula mencuri tumpuan 14 tahun lalu apabila namanya dipilih untuk mewakili negara.

Atlet berusia 29 tahun itu kini mengidap penyakit membabitkan tulang belakang, pernah menjalani pembedahan awal Mei lalu dan masih lagi dalam proses pemulihan.

“Saya sudah mencapai apa saja yang saya sasarkan dan saya fikir sudah tiba masanya untuk saya melangkah ke episod baru dalam hidup saya. Ketika ini, saya bekerja di Dentsu Sports Asia sebagai eksekutif pemasaran sukan,” kata Cai Lin kepada Timesport, semalam.

“Saya sudah bersama skuad kebangsaan selama kira-kira 14 tahun. Sebagai perenang jarak jauh, sukar untuk saya kembali beraksi selepas menjalani pembedahan.

“Adalah satu kebanggaan buat saya apabila dapat mewakili negara dalam pertandingan di pelbagai peringkat. Saya pernah bertanding di beberapa bahagian dunia, bertemu pesaing dan rakan, memenangi pelbagai pingat sambil memecahkan rekod.

“Membahagikan masa antara sekolah, latihan, keluarga dan kawan-kawan bukan mudah untuk dilakukan. Tetapi ia sudah menjadi kebiasaan buat saya.

“Itu jalan hidup yang saya pilih. Saya tidak menyesal dan tidak akan menukarkan semua pengalaman itu dengan apa saja. Adakah saya akan melakukannya sekali lagi? Sudah tentu kerana kali ini, saya tahu apa yang perlu dilakukan bagi mengelak daripada gagal.”

Ketika ditanya sama ada dia akan terus beraksi di kejohanan tempatan, Cai Lin berkata ia bergantung kepada sejauh mana tahap pemulihan yang dijalaninya.

“Saya akan menjalani proses pemulihan selama dua bulan. Saya akan lihat keadaannya selepas itu. Saya sudah memberitahu jurulatih kebangsaan, Paul Birmingham dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) berhubung keputusan ini. Mereka tidak membantah dan mengucapkan selamat maju jaya buat saya,” katanya.

Ketika ditanya apakah kenangan paling manis sepanjang bergelar perenang negara, Cai Lin memilih temasya Sukan SEA 2007 Korat di mana dia memenangi emas acara 400m dan 800m gaya bebas.

“Persembahan saya di Korat membolehkan saya layak ke Olimpik pertama di Beijing 2008. Saya turut cemerlang pada 2008 dengan memecahkan rekod 20 tahun milik Nurul Huda Abdullah dalam acara 200m gaya bebas,” kata Cai Lin yang turut beraksi di Olimpik London 2012.

Cai Lin tampil sebanyak tujuh kali di temasya Sukan SEA sejak 2003 di Vietnam dan memenangi 15 pingat termasuk lima emas.

Dia memegang rekod kebangsaan dalam empat acara iaitu 200m, 400m dan 800m gaya bebas serta 200m kuak kupu-kupu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 September 2017 @ 8:51 PM