Kuala Lumpur: Cabaran untuk mempertahankan pingat emas oleh perenang senior negara Khoo Cai Lin dalam acara 800m gaya bebas pada temasya Sukan SEA Singapura kali ini tidak mudah apabila bakal berdepan saingan perenang Thailand.

Jika pada penyertaan di temasya dwi tahunan itu, Cai Lin diletakkan harapan sebagai penyumbang utama pingat buat negara, namun selepas beraksi di Sukan Asia tahun lalu, Cai Lin menyedari dia perlu berusaha lebih keras.

Mengakui terbit rasa kurang yakin selepas melihat aksi perenang Thailand itu di Sukan Asia yang melakarkan catatan lebih pantas, perenang dari Selangor itu berkata, dia tidak akan mudah menyerah kalah.

“Saya sedar perlu berusaha lebih keras selepas ini. Saya banyak menyertai pertandingan dan menjalani latihan. Memang pada mulanya saya terasa goyang untuk berdepan dengan perenang Thailand itu tapi sekarang saya yakin.

“Perenang Thailand itu melakarkan 8 minit 48 saat dalam acara 800m meter dan saya melakukan 8:50s, perbezaan itu tidak jauh jadi saya yakin mampu mencabarnya,” katanya yang juga perlu berhati-hati dengan kelibat perenang Vietnam.

Pada penyertaan ketujuh di Sukan SEA itu, Cai Lin berkata dia mungkin mengambil acara tambahan selain daripada acara kegemaran 800 dan 400m dengan besar kemungkinan menyertai kuak kupu-kupu dan 400m rampaian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 6:54 AM