Putrajaya: Selepas berjaya menempah slot ke Sukan Olimpik Rio 2016 di Brazil menerusi acara 400 meter (m) gaya bebas, ratu renang negara Khoo Cai Lin (gambar) kini mengidam melayakkan diri bagi 800m gaya bebas.

Katanya, biarpun temasya sukan terbesar dunia itu kelihatan semakin hampir, perenang berusia 27 tahun itu tetap percaya mampu meloloskan diri ke Rio tahun depan secara merit.

“Saya masih ada beberapa kejohanan untuk layak ke Olimpik Rio dalam acara 800m selain pada masa sama berharap dapat mencatatkan masa lebih pantas 400m gaya bebas.

“Untuk bertanding di Rio, saya sudah layak untuk acara 400m gaya bebas, tapi perlu rendahkan catatan bagi masa lebih pantas. Namun pada masa sama saya harap mampu layak acara 800m,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2015, di sini, semalam.

Tambah Cai Lin yang juga penerima insentif tertinggi, dia sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kejohanan tempatan dan antarabangsa bagi melaksanakan misi peribadinya itu.

“Saya sedar bukan mudah mendapatkan tiket kedua (800m) ke Olimpik, tapi saya akan cuba,” katanya yang menerima wang tunai RM4,250 selepas muncul atlet paling cemerlang di temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2014, Palembang Indonesia dengan pungutan dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Sementara itu, pemanah compound negara, Saritha Cham Nong dari Universiti Putra Malaysia (UPM) membawa pulang RM6,000 apabila meraih satu emas di AUG 2014, Palembang serta satu perak di Kejohanan Universiti Dunia (WUC) 2014 di Legnica, Poland.

Seramai 196 atlet IPT menerima insentif masing-masing dengan jumlah keseluruhan bernilai RM 300,000 membabitkan tiga kejohanan antarabangsa iaitu WUC 2014, AUG 2014 dan Sukan Universiti Dunia (UNIVERSIADE) 2015 di Gwangju, Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Oktober 2015 @ 8:19 AM