NADAL membalas pukulan Taro Daniel dari Jepun.
NADAL membalas pukulan Taro Daniel dari Jepun.
AFP

New York: Bekas juara, Roger Federer dan Rafael Nadal melangkah ke kelompok 32 pemain terakhir Terbuka AS manakala kategori wanita berdepan kejutan apabila pemain pilihan kelapan, tersingkir.

Federer mencatat kemenangan ke-80 sepanjang kariernya di New York tetapi dia perlu mengharungi lima set buat kali kedua sebelum menang 6-1, 6-7 (3/7), 4-6, 6-4, 6-2 ke atas Mikhail Youzhny.

Ia adalah kemenangan ke-17 baginya ke atas pemain Russia berkenaan manakala pemain nombor satu dunia, Nadal mengetepikan pemain Jepun, Taro Daniel 4-6, 6-3, 6-2, 6-2.

Federer, 36, yang juga juara lima kali Terbuka AS, akan berdepan Feliciano Lopez dari Sepanyol untuk ke kelompok 16 terakhir. Rekod pertemuannya menentang Lopez ialah 12-0.

“Perlawanan agak menyeronokkan. Saya rasa sesi memanaskan badan bagi saya sudah cukup,” kata juara Terbuka Australia dan Wimbledon, Federer.

Youzhny pula mengaku kakinya kejang dan dia mampu bergerak kiri dan kanan tetapi tidak ke depan dan belakang.

“Ia sesuatu yang agak menyedihkan untuk dilihat,” kata Federer. “Tetapi ini mungkin perlawanan kami yang paling baik setakat ini.”

Pilihan utama, Nadal yang juga juara edisi 2010 dan 2013, dikejutkan lawannya, Daniel di set pertama.

Tetapi Daniel yang tidak pernah mengalahkan pemain di kelompok 10 teratas, menerima padah hasil kelekaan apabila Nadal bangkit untuk menempah tiket bertemu Leonardo Mayer di pusingan ketiga.

“Semua perlawanan adalah sukar tetapi di sini, semua mahu bermain dengan baik dan jika anda tidak berjaya mengimbanginya, anda pasti tewas,” kata Nadal.

“Saya tidak bermain dengan baik tetapi saya akan mencari penyelesaiannya kerana saya percaya boleh beraksi lebih bagus berbanding apa yang saya lakukan hari ini.”

Sementara itu, dalam kategori wanita, pemain pilihan kelapan dari Russia, Svetlana Kuznetsova yang juga juara 2004, tewas di tangan pemain Jepun, Kurumi Nara 6-3, 3-6, 6-3.

Svetlana adalah pemain kelima dalam kelompok lapan pemain utama yang tewas sebelum pusingan ketiga selepas Simona Halep, Caroline Wozniacki, juara bertahan Angelique Kerber dan Johanna Konta turut tersingkir sebelum ini.

Pemain nombor satu dunia, Karolina Pliskova, yang muncul naib juara tahun lalu, mengalahkan Nicole Gibbs 2-6, 6-3, 6-4.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 4:47 AM