REAKSI  Djokovic selepas menewaskan Nadal di Roland Garros, Paris. FOTO AFP
REAKSI Djokovic selepas menewaskan Nadal di Roland Garros, Paris. FOTO AFP
AFP

Paris: Novak Djokovic menamatkan penguasaan juara 13 kali Rafael Nadal di Terbuka Perancis dan mara ke final keenamnya dalam pertarungan epik awal pagi tadi.

Dalam perlawanan ke-58 sepanjang karier mereka, Djokovic menang 3-6, 6-3, 7-6 (7/4), 6-2 dan dalam landasan tepat memburu kejuaraan utama ke-19 sekali gus muncul pemain lelaki pertama dalam masa 50 tahun menjulang kesemua empat Slam sebanyak dua kali.

Djokovic, juara 2016 di Paris yang turut menewaskan Nadal pada 2015 akan menentang Stefanos Tsitsipas di final esok.

Tsitsipas muncul pemain Greece pertama mara ke final Grand Slam selepas mengatasi cabaran pemain Jerman, Alexander Zverev 6-3, 6-3, 4-6, 4-6, 6-3.

Nadal, 35, yang boleh menjadi pemain tertua beraksi di final Terbuka Perancis pada era moden kekal terikat dengan 20 gelaran utama bersama Roger Federer.

"Memang istimewa berdepan Rafa dalam perlawanan hebat seperti ini,'' kata Djokovic selepas tamat pertarungan sengit selama empat jam 11 minit.

"Malam ini perlawanan paling sengit saya di Paris."

Kemenangan itu yang keduanya ke atas Nadal dalam lapan perlawanan di Paris manakala kekalahan pertama bintang Sepanyol itu dalam 14 aksi separuh akhir di ibu kota Perancis.

"Bukan hari terbaik buat saya walaupun saya berusaha sebaik mungkin," kata Nadal.

"Ada masanya anda menang, kadang-kadang kalah. Terdapat beberapa mata yang gila tetapi saya keletihan ketika itu.''

Kekalahan Nadal itu hanyalah yang ketiganya sepanjang 16 tahun dan 108 perlawanan di Roland Garros manakala prestasi mantap Djokovic ternyata amaran kepada Tsitsipas yang tewas kepada pemain nombor satu dunia itu pada separuh akhir di Paris tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Jun 2021 @ 6:45 AM