KEITA akan ke Liverpool pada Julai 2018.
KEITA akan ke Liverpool pada Julai 2018.
AFP

BURTON-ON-TRENT, England: Kapten Liverpool, Jordan Henderson mengucapkan tahniah kepada kelabnya kerana melengkapkan perjanjian membeli pemain yang sudah lama disasarkan Naby Keita dari RB Leipzig.

Pemain tengah Guinea berusia 22 tahun itu akan tiba pada Julai 2018 selepas Liverpool dilaporkan menebus kontrak pemain itu bernilai £48 juta (RM264 juta) selain beberapa bayaran tambahan.

“Saya sudah melihat Naby bermain beberapa kali dan dia amat mengagumkan,” kata Henderson di pusat latihan England di Burton-on-Trent, tengah England semalam.

“Ada banyak desas-desus mengenai perpindahan sepanjang musim panas ini dan syukurlah kami berjaya melakukan urusan pembelian.

“OK, dia datang tahun depan, tapi saya yakin kelab gembira untuk mendapatkan khidmatnya kerana dia benar-benar tambahan bermakna dalam skuad dan harapnya membantu kami dalam beberapa tahun akan datang.”

Henderson melapor diri bagi tugasan bersama England selepas Liverpool membenam Arsenal 4-0 Ahad lalu, yang membantu anak buah Juergen Klopp melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris.

Arsenal dan pengurus mereka Arsene Wenger dikritik hebat selepas perlawanan itu namun Henderson percaya mana-mana pasukan akan berdepan kesukaran menentang Liverpool apabila mereka memberikan persembahan terbaik.

“Arsenal masih pasukan yang amat bagus dengan pemain hebat,” katanya.

“Saya sedar mereka menerima banyak kritikan terutama selepas aksi menentang kami tapi pada masa sama kami amat bagus.

“Bila kami bermain sebegitu, sukar buat mana-mana pasukan tampil dan mengekang kami. Sesiapa datang ke Anfield hari itu pasti bergelut.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 9:30 AM