HENDERSON mahu lupakan Kiev dan fokus pada aksi Piala Dunia di Russia. FOTO/AFP
HENDERSON mahu lupakan Kiev dan fokus pada aksi Piala Dunia di Russia. FOTO/AFP
AFP

BURTON-ON-TRENT, England: Kapten Liverpool, Jordan Henderson percaya peralihan fokus daripada final Liga Juara-Juara kepada mewakili England di Piala Dunia mampu meringankan derita kekalahan kepada Real Madrid di Kiev.

Dua kesilapan besar penjaga gol Loris Karius dan sepakan akrobatik menakjubkan Gareth Bale menghalang Henderson daripada menjulang trofi pertamanya sejak menggantikan Steven Gerrard sebagai kapten di Anfield apabila kalah 1-3 pada 26 Mei lalu.

“Tempoh 10 hari lalu memang sukar. Sukar untuk menerima hakikat,” kata Henderson.

“Saya dapat meluangkan masa bersama keluarga, ia amat penting. Bagus apabila dapat menenangkan fikiran dan mempunyai masa untuk fokus kembali terhadap apa yang penting iaitu Piala Dunia.

“Ia sepatutnya menjadi fokus saya. Saya fikir ia sesuatu yang bagus, saya boleh kembali bekerja.”

Harry Kane mengetepikan Henderson untuk penghormatan sebagai kapten negaranya di Russia biarpun Henderson lebih berpengalaman dalam skuad muda yang dipilih Gareth Southgate.

Henderson, 27, adalah antara beberapa pemain yang menyertai England ketika tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Dunia sebelum ini dan tewas kepada Iceland pada Euro 2016.

Keputusan cemerlang pada aksi persahabatan berdepan pasukan pilihan Brazil dan Jerman, begitu juga dengan Belanda, Itali dan Nigeria meningkatkan keyakinan anak buah Southgate mampu mengatasi skuad sebelum ini yang gagal dalam kejohanan utama.

Namun Henderson memberi bayangan mereka perlu menampilkan aksi lebih baik apabila berdepan tekanan memuncak pada Piala Dunia.

“Saya tidak akan duduk di sana dan menjadikannya sebagai alasan atas apa yang berlaku di Euro,” katanya.

“Namun apa yang akan saya katakan kem ini terletak di tempat yang sesuai, bagus secara fizikal dan mental dan ia penting sebelum kejohanan besar.

“Kini kami perlu selesaikan semuanya di padang.”

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 9:21 AM