AKSI Neymar (kiri) ketika menentang Saint-Etienne. -AFP
AKSI Neymar (kiri) ketika menentang Saint-Etienne. -AFP
AFP

PARIS: Peranan Neymar agak terhad ketika Edinson Cavani menjaringkan dua gol dan Thiago Motta menyumbang satu lagi apabila Paris Saint-Germain menang selesa 3-0 di laman sendiri ke atas Saint-Etienne dalam aksi Ligue 1, awal pagi tadi.

Pemain termahal dunia itu - meledak tiga gol dalam dua perlawanan pertamanya sejak perpindahan 222 juta euro (RM1.1 bilion) dari Barcelona - bagaimanapun masih mampu memberikan sumbangan apabila hantarannya mencetus kekasaran ke atas Cavani menjurus kepada sepakan penalti pada babak pertama yang disempurnakan pemain Uruguay itu.

Begitu juga susulan sepakan percuma Neymar membantu Motta menjaringkan gol selepas rehat untuk menggandakan pendahuluan sebelum Cavani melengkapkan kemenangan itu pada masa kecederaan sekali gus menyaksikan PSG mengekalkan permulaan sempurna musim baru liga Perancis dengan empat kemenangan dalam empat perlawanan.

“Kami mencapai objektif untuk mengungguli carta selepas perlawanan ini,” kata jurulatih PSG, Unai Emery.

“Perlawanan ini memberikan kami banyak maklumat bagaimana mahu meningkat dan membantu Neymar menyesuaikan diri dengan liga dan lawan berbeza.

“Dia berasa amat bagus dalam dua perlawanan pertama. Perlawanan ini berbeza tapi ia membantu dia belajar sesuatu.”

Saint-Etienne bertandang ke Parc des Princes dengan rekod sempurna dan tanpa melepaskan sebarang gol dalam tiga aksi pertama mereka namun ketika mereka tersusun ketika bertahan, mereka kekurangan kualiti ketika menyerang.

Neymar bukan satu-satunya superstar sukan yang tampil di padang Parc des Princes apabila Steph Curry dari pasukan bola keranjang NBA, Golden State Warriors melakukan sepak mula sebelum perlawanan.

Emery memilih merehatkan rakan Neymar dalam pasukan kebangsaan Brazil, Dani Alves dan Thiago Silva manakala Marco Verratti digantung perlawanan berikutan kad merah diterimanya ketika membelasah Toulouse 6-2 Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Ogos 2017 @ 7:22 AM