MESSI dicemuh penyokong PSG. FOTO EPA
MESSI dicemuh penyokong PSG. FOTO EPA
AFP

Paris: Paris Saint-Germain (PSG) menewaskan pasukan sedang bergelut di Ligue 1, Bordeaux 3-0 semalam ketika barisan pemain bintang kelab itu termasuk Lionel Messi dan Neymar dicemuh penyokong susulan tersingkir awal di saingan Liga Juara-Juara.

Hanya Kylian Mbappe yang menjaringkan kedua-dua gol ketika tewas pada aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara kepada Real Madrid, terlepas daripada kemarahan penyokong.

Mbappe sekali lagi cemerlang apabila menjaringkan gol pembukaan selepas 24 minit dengan Neymar dan Leandro Paredes masing-masing menambah dua gol lagi di babak kedua.

PSG mendahului 15 mata berbanding Marseille serta Nice dan berada di landasan untuk menyamai rekod Saint-Etienne muncul juara liga 10 kali tetapi kekecewaan penyokong tuan rumah tidak dapat disembunyikan.

Pemenang tujuh kali Ballon d'Or, Messi dicemuh penyokong kelab itu setiap kali dia menyentuh bola.

Jurulatih PSG, Mauricio Pochettino berkata setiap pemainnya masih berasa kecewa.

"Tiada sesiapa yang menyokong PSG merasai perasaan lain selain daripada kekecewaan selepas tersingkir.

"Kesedihan. Saya rasa itu perkataan yang paling tepat. Kesedihan dalam mengharungi perlawanan di Parc des Princes.

"Messi dan Neymar? Kami semua terkesan. Kami memahami kekecewaan penyokong.

"Tetapi kami mengambil tanggungjawab ini. Kami menerima kekecewaan ini sebagai satu pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 9:23 AM