ASYRAAF (tengah) mahu pemain pamer aksi positif.
ASYRAAF (tengah) mahu pemain pamer aksi positif.
Ajitpal Singh


Kuala Lumpur: Filipina membawa 11 pemain naturalisasi untuk mengharungi cabaran bola sepak wanita sekali gus menghadirkan berita buruk buat skuad bimbingan Asyraaf Abdullah yang akan membuka kempen mereka di Stadium UiTM hari ini.

Mereka dilihat begitu bermotivasi selepas layak ke Piala Asia Wanita di Jordan pada April lalu dan akan mencipta sejarah jika menewaskan Malaysia untuk kemenangan pertama mereka dalam Sukan SEA.

Malaysia yang berkedudukan ke-80 dunia menghuni ranking paling rendah dalam kejohanan ini dengan Thailand (29) menjadi pilihan diikuti Vietnam (32), Myanmar (45) dan Filipina (75).

Untuk rekod, kedua-dua pasukan sudah bertemu tiga kali dalam kejohanan dwitahunan ini dengan Malaysia menang 1-0 di Kuala Lumpur 2001 selain seri 0-0 pada 1995 (Chiang Mai) dan 2003 (Hanoi).

“Filipina sudah pasti bersemangat selepas layak ke Piala Asia. Lagipun, saya dengar mereka membawa 11 pemain naturalisasi,” katanya.

“Pemain naturalisasi mereka berasal dari Amerika Syarikat dan Kanada. Tapi pemain saya sudah bersedia untuk mereka dan kami merancang menduduki tiga kelompok teratas.

“Justeru dua perlawanan pembukaan menentang Filipina dan Myanmar akan menentukan nasib kami kerana Thailand dan Vietnam terlalu kuat.

“Kami selalu tewas dengan jumlah gol besar kepada Myanmar sebelum saya memegang pasukan ini pada 2015, tapi jurang itu sudah semakin sempit. Kami hanya tewas 2-1 kepada mereka dalam Kejohanan AFF di Mandalay tahun lalu.”

Asyraaf berkata beliau ketika ini sedang membina semula pasukan wanita dengan kebanyakan pemain beraksi buat kali pertama di Sukan SEA.

“Saya tidak boleh bercakap banyak kecuali kami akan memberikan 100 peratus dalam semua perlawanan. Kami menjalani latihan tiga fasa pertama di Kota Kinabalu sebelum pemain berkumpul sepenuh masa pada Julai.”

Pencapaian terbaik negara di Sukan SEA adalah memenangi perak di Chiang Mai pada 1993.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Ogos 2017 @ 10:57 AM