Dadree (kanan) mahu skuad negara raih tiga mata. FOTO HM/MALAI ROSMAH TUAH
Dadree (kanan) mahu skuad negara raih tiga mata. FOTO HM/MALAI ROSMAH TUAH
Firdaus Hashim


MALAYSIA tiada pilihan lain kecuali mencatat kemenangan ke atas Myanmar pada aksi kedua bola sepak wanita Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Stadium UiTM, Shah Alam, esok.

Ia diakui penjaring tunggal skuad negara ketika tewas 1-2 kepada Filipina pada perlawanan pertama Dadree Rofinus yang menganggap pertembungan itu sebagai misi hidup mati.

Jika perlawanan berkesudahan seri atau tewas, impian skuad bimbingan Mohd Asyraaf Abdullah meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa akan tertutup kerana bakal berdepan dua jagoan serantau, Vietnam dan Thailand selepas ini.

“Kekalahan semalam meletakkan kami pada laluan cukup berliku untuk memenangi pingat di tempat sendiri pada Sukan SEA.

“Kami tak boleh buang mata lagi selepas ini terutama ketika menentang Myanmar. Saya harap jentera serangan akan tampil lebih menyengat pada perlawanan itu,” katanya.

Menurutnya, kelalaian pemain antara punca pasukannya tewas dan dia mahu kelemahan diatasi pada aksi kedua nanti.

“Satu perlawanan sengit dan Filipina merupakan pasukan yang baik. Kami juga beraksi baik tetapi sedikit kealpaan menyaksikan pasukan dihukum.

“Kami perlu fokus sepanjang masa untuk tidak ulangi kesilapan sama. Jika ia dapat diatasi, saya yakin pasukan akan beraksi lebih positif sekali gus raih tiga mata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Ogos 2017 @ 5:36 PM