ASYRAAF (tengah) mengendali sesi latihan pasukan bola sepak wanita di Jeonsa Kampung Baru. -Foto OSMAN ADNAN
ASYRAAF (tengah) mengendali sesi latihan pasukan bola sepak wanita di Jeonsa Kampung Baru. -Foto OSMAN ADNAN
Syafiq Aznan


DUA perlawanan pertama yang bakal diharungi skuad bola sepak wanita pada temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) dilihat menjadi penentu sama ada mereka mampu memenuhi sasaran untuk meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Situasi itu diakui jurulatihnya Mohd Asyraaf Abdullah yang menuntut anak buahnya agar dapat meraih kemenangan untuk mengutip mata penuh pada aksi bertemu Filipina dan Myanmar sekali gus mencerahkan peluang kilauan pingat buat skuad bola sepak wanita di bumi sendiri.

“Kita tidak boleh tercicir mata pada dua aksi pertama nanti memandangkan selepas itu, kita akan bertemu dua pasukan lebih kuat, Thailand dan juga Vietnam yang menjadi cabaran terbesar buat kita pada temasya kali ini.

“Jadi, peluang terbaik kita untuk meraih mata adalah pada aksi bertemu Filipina dan juga Myanmar. Dengan persediaan yang rapi dan kelebihan beraksi di laman sendiri, saya optimis kita mampu merealisasikan sasaran untuk sekurang-kurangnya meraih pingat gangsa,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Malaysia akan membuka kempen KL2017 bertemu Filipina, malam esok, sebelum menentang Myanmar pada 17 Ogos serta Thailand (20 Ogos) sebelum menutup kempen bertemu Vietnam pada 24 Ogos dengan semua perlawanan dilangsungkan di Stadium UiTM Shah Alam.

Mengulas lanjut aksi bertemu pasukan bimbingan Marnelli Dimzon itu, Mohd Asyraaf mengakui lega apabila mampu menurunkan barisan terbaiknya untuk melayan kunjungan Filipina memandangkan tiada pemain yang mengalami kecederaan setakat ini.

“Selepas mengharungi beberapa aksi persahabatan sebelum ini, bayangan kesebelasan utama itu sudah ada. Saya percaya mereka adalah yang terbaik dan mampu memberi saingan ketika bertemu Filipina malam esok.

“Dengan berbekalkan motivasi menundukkan Singapura pada aksi pemanas badan terakhir, moral pemain sedang berada pada tahap terbaik dan semuanya bersemangat tinggi untuk menunjukkan bola sepak wanita berada pada landasan yang tepat untuk berkembang,” katanya.

Pencapaian terbaik skuad bola sepak wanita adalah meraih pingat perak pada temasya Sukan SEA 1995 yang berlangsung di Chiang Mai, Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Ogos 2017 @ 2:50 PM