KEVIN meraikan kemenangannya di garisan penamat.
KEVIN meraikan kemenangannya di garisan penamat.
Ajitpal Singh


KEVIN Yeap mencipta sejarah unik apabila dia memenangi pingat emas acara 10km renang perairan terbuka lelaki hari ini sekali gus muncul atlet pertama Malaysia meraih dua kejuaraan dalam dua disiplin akuatik.

Atlet berusia 28 tahun itu menghasilkan persembahan dominan apabila dia mendahului sejak awal dan melepasi garian penamat selepas enam pusingan dan mendepangkan kedua-dua tangan dalam air sebagai tanda kemenangan di Kompleks Sukan Air, Putrajaya.

Kevin menamatkan perlumbaan itu dengan masa 2 jam 3 minit 18 saat diikuti peserta Thailand, Peerapat Lertsathapornsuk (2’05:41) dan atlet Indonesia, Aflah Fadlan Prawira (2’08:40).

Seorang lagi peserta negara, Wong Jun Bin menduduki tangga keenam dengan masa 2’12:26.

Kevin sebelum ini cemerlang di kolam dan menyertai skuad kebangsaan pada usia 17 tahun.

Pencapaian terbaiknya di kolam renang adalah memenangi pingat emas 400m gaya bebas pada Sukan SEA Indonesia 2011 yang mana dia turut meraih gangsa dalam acara renang perairan terbuka.

Selepas menamatkan perlumbaan hari ini, Kevin memberitahu wartawan dia memutuskan untuk bersara.

Kevin mahu bersara tahun lalu selepas gagal layak ke Sukan Olimpik Rio dalam acara 400m dan 1,500m gaya bebas.

Namun jurulatih kebangsaan Paul Birmingham memujuknya supaya kekal dan mencuba acara renang perairan terbuka pada Sukan SEA.

“Hari ini perlumbaan terakhir saya dalam renang. Saya bercadang untuk bercuti dan berehat seketika sebelum memikirkan apa yang akan saya lakukan selepas ini.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Ogos 2017 @ 11:55 AM