PEMAIN Gua Musang (jersi merah) diasak pemain Trolak.
PEMAIN Gua Musang (jersi merah) diasak pemain Trolak.
Azlan Muhammad Zain


Kuala Lumpur: Dua tiket separuh akhir Piala Pengerusi FELDA 2017 berjaya diraih Persatuan Bolasepak FELDA (PBFW) Gua Musang dan Alor Setar selepas aksi peringkat kumpulan yang ditangguh pada Mei bersambung kelmarin.

Selepas mengharungi lima perlawanan, Gua Musang mengesahkan salah satu tiket dari Kumpulan A apabila mengumpul 10 mata selepas kemenangan ke atas Trolak Sabtu lalu.

Kemenangan 1-0 skuad kendalian Tuan Addni Engku Abdul Rahman itu sudah cukup untuk mereka meraih tiga mata dan kini memberikan tumpuan kepada aksi separuh akhir hujung bulan ini.

“Saya gembira kami sudah menempah tiket ke separuh akhir. Peluang dan corak permainan seimbang pada perlawanan itu namun kami berjaya meledak satu gol yang penting.

“Cuma dalam tempoh yang ada kami perlu meningkatkan tahap kecergasan pemain selepas Ramadan dan sambutan Aidilfitri,” katanya.

Kumpulan B turut menyaksikan kejayaan Alor Setar mengesahkan kemaraan sebagai empat pasukan terakhir walaupun masih berbaki satu perlawanan.

Wakil dari utara itu mengumpul 10 mata dengan pasukan FELDA Raja Alias mengumpul lapan mata dan Kuantan meraih enam mata bakal merebut satu lagi tiket ke separuh akhir.

Kejohanan membabitkan saingan 11 pasukan dari tanah rancangan FELDA dan satu pasukan Akademi Bolasepak FELDA (ABF) dengan dua pasukan teratas mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Julai 2017 @ 6:37 AM