PEMAIN  Sahabat, Karim Maning (dua kiri) diasak pemain  Trolok, Mohamad Taufik  pada aksi Liga FELDA di Stadium Mini BSN.
PEMAIN Sahabat, Karim Maning (dua kiri) diasak pemain Trolok, Mohamad Taufik pada aksi Liga FELDA di Stadium Mini BSN.
Azlan Muhammad Zain

Bangi: Persatuan Bolasepak FELDA Wilayah (PBFW) Sahabat terpaksa akur tersingkir awal dalam saingan Liga FELDA (Liga F) 2016.

Pasukan dari Lahad Datu, Sabah itu mengalami kekalahan ketiga daripada empat perlawanan yang diharungi.

Terbaru mereka menjadi mangsa PBFW Trolak dari Perak apabila tewas 0-3 dalam aksi di Stadium BSN semalam.

Jurulatih Sahabat Hiayah Raopung berkata, beliau terpaksa menerima hakikat kekalahan ketiga dialami anak buahnya.

“Peluang untuk kami mara amat tipis kerana memerlukan keajaiban bagi melangkah ke peringkat seterusnya. Kami cuma ada baki satu perlawanan selain hanya mengumpul tiga mata.

“Mungkin faktor kepenatan menyebabkan kami tewas. Kami hanya membawa 19 pemain untuk mengharungi lima perlawanan sejak minggu lalu,” jelasnya.

Terdahulu Sahabat mengalami kekalahan kepada Segamat (0-6) dan Jengka (0-7) selain menang ke atas Ibu Pejabat FELDA (3-2).

Mereka akan bertemu Johor Bahru esok untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.

“Kami cuba yang terbaik untuk perlawanan terakhir itu. Bagaimanapun saya melihat secara positif situasi ini kerana yang penting pemain mendapat pendedahan serta pengalaman berguna,” katanya.

Saingan Liga F 2016 menampilkan 12 pasukan yang dibahagikan kepada dua kumpulan dengan dua teratas mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mei 2016 @ 5:04 AM