ANNUAR (tiga dari kanan) bersama wakil kedua-dua pasukan bergambar bersama Piala Pengerusi FELDA menjelang aksi final malam ini.
ANNUAR (tiga dari kanan) bersama wakil kedua-dua pasukan bergambar bersama Piala Pengerusi FELDA menjelang aksi final malam ini.
Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Stadium Tun Abdul Razak (STAR) di Jengka, Pahang dengan harga RM92 juta yang bakal digunakan FELDA United dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2016, akan diuji buat kali pertama malam ini.

Ia akan menjadi gelanggang merebut Piala Pengerusi FELDA membabitkan Persatuan Bolasepak FELDA Wilayah (PBFW) Jengka menentang PBFW Gua Musang.

“Stadium serba lengkap ini yang pertama dimiliki FELDA. Stadium ini dipilih untuk aksi final sebagai penghargaan khususnya untuk warga FELDA Jengka.

“Kami mengharapkan sokongan warga FELDA untuk memenuhi kapasiti 20,000 tempat duduk bagi menyaksikan perlawanan ini tanpa mengenakan sebarang bayaran. Malah skuad Liga Super FELDA United akan diperkenalkan secara rasmi sebelum perlawanan itu nanti,” kata Timbalan Pengarah Besar FELDA (Pembangunan Komuniti) Anuar Malek.

Terdahulu berlangsung sidang media membabitkan kedua-dua pasukan pada kejohanan yang memasuki tahun kedua penganjurannya.

Kedua-dua pasukan dijangka berdepan cabaran kerana padang STAR menggunakan padang rumput tiruan.

“Kami mengadakan beberapa aksi persahabatan di padang rumput tiruan untuk membolehkan pemain membiasakan diri. Jadi saya berharap kami mampu beraksi dengan baik pada perlawanan sebenar nanti,” kata jurulatih PBWF Jengka Ahmad Faizal Sulaiman.

Jengka hadir selaku juara bertahan namun terpaksa menggunakan kira-kira 30 peratus pemain baru selepas kehilangan pemain lama yang berhijrah dan sebagainya.

Saingan Liga FELDA bermula Ogos tahun lalu membabitkan 11 pasukan bersaing secara liga satu pusingan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Februari 2016 @ 7:50 AM