JOSEPH (kanan) tak rela biar Pahang tercicir mata.
JOSEPH (kanan) tak rela biar Pahang tercicir mata.
Asrol Awang

Kuantan: Pemain tengah Pahang, Joseph Kalang Tie bersama rakan sepasukan akan menampilkan prestasi lebih mantap dan bertenaga sebaik saingan Liga Super dan Piala Malaysia bersambung bulan depan.

Pemain kelahiran Miri, Sarawak itu berkata, fokus utama skuad Tok Gajah sepanjang Ramadan adalah meningkatkan kecergasan dalam usaha mengekalkan prestasi dipersembahkan sebelum liga berehat.

Katanya, sebaik liga bersambung, skuad itu akan memberi fokus kepada setiap perlawanan dan memastikan tidak keciciran mata dalam usaha mengejar Johor Darul Ta’zim (Johor DT) selaku peneraju Liga Super.

“Sudah pasti kami mahu beraksi dengan baik apabila saingan liga bersambung dan kemenangan adalah misi utama pasukan untuk memastikan tidak lagi tercicir mata.

“Fokus utama adalah memberi sepenuh komitmen dari satu perlawanan ke satu perlawanan kerana jurang mata dengan Johor DT juga tidak begitu ketara iaitu hanya enam mata.

“Saya juga percaya tempoh rehat sepanjang Ramadan ini akan memberi lebih ruang untuk kami meningkatkan kualiti permainan dalam usaha memburu kejayaan sesudah terlepas Piala FA musim ini,” katanya di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Jun 2017 @ 10:51 AM