Kuala Lumpur: Rehat dua minggu saingan Liga Super disambut baik pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan dengan menjadikan tempoh itu sebagai medan memantapkan persembahan anak didiknya sebelum bertemu Johor Darul Ta’zim (Johor DT), pada 4 April.

Selepas agak bergelut mencari kemenangan sulung dalam empat aksi awal Liga Super, keputusan meraih tiga mata penuh pada aksi kelima menentang juara Piala Malaysia musim lalu Pahang dengan 1-0 sememangnya melegakan Sathianathan yang berharap momentum positif itu dapat diteruskan sebaik saja liga bersambung.

Untuk itu, pengendali berusia 57 itu merancang mengadakan beberapa siri aksi persahabatan dengan kelab Liga Singapura (Liga-S), namun segala-galanya masih di peringkat awal perbincangan dan beliau berharap usaha itu menjadi kenyataan.

“Saya sedar aksi menentang Johor DT bukan mudah, apatah lagi kami harus bermain di Stadium Larkin. Sudah pasti, bukan mudah beraksi .

“Ketika ini, motivasi pemain cukup baik dan semangat. Saya mahu mereka memulakan saingan bertemu Johor DT nanti dengan kemenangan atau sekurang-kurangnya seri.

“Jadi, bagi mengekalkan prestasi pemain dan rentak pasukan, kami memerlukan aksi persahabatan yang boleh menguji pasukan. Kalau nak ikutkan, saya hendak mengadakan dua aksi persahabatan dengan kelab di Singapura. Tapi, belum muktamad lagi,” katanya semalam.

Sementara itu, menurut bekas jurulatih skuad kebangsaan dan Kelantan itu, beliau tidak bercadang melakukan sebarang rombakan pemain menjelang jendela perpindahan pemain April depan.

“Biarpun keputusan kami tidak begitu memuaskan dalam liga setakat ini, saya tidak akan melakukan apa-apa pertukaran pemain import atau tempatan.

“Fokus saya ketika ini bagaimana untuk menambah keserasian di antara pemain kerana saya lihat kekurangan kami hanya disebabkan masalah komunikasi. Bagaimanapun, kami semakin meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 7:37 AM