PENYERANG  Pahang Dickson Nwakaeme (dua dari kiri)  idam robek pertahanan   PDRM di Stadium Darulmakmur.
PENYERANG Pahang Dickson Nwakaeme (dua dari kiri) idam robek pertahanan PDRM di Stadium Darulmakmur.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Menjelang pertemuan pertama pusingan kedua di Stadium Darulmakmur malam ini, pengurus Pahang Datuk Che Nasir Salleh mengarahkan jentera pertahanan Tok Gajah supaya lebih fokus biarpun mereka masih segar dengan kemenangan besar 5-3 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabtu lalu.

Beliau berkata, kekalahan PDRM sudah pasti membuatkan mereka lebih waspada kerana tidak mahu tercicir lebih banyak mata.

“Oleh itu, saya harap jentera pertahanan lebih bersedia dan kebal memandangkan PDRM berjaya menjaringkan tiga gol termasuk dua daripadanya diperoleh menerusi penalti.

“Kami tidak boleh melakukan kesilapan yang mengundang bahaya kerana fokus utama Pahang memastikan setiap perlawanan berakhir dengan kemenangan,” katanya.

Beliau berkata, rentak kemenangan perlu diteruskan dalam usaha memastikan Pahang mengukuhkan lagi kedudukan selaku pendahulu Liga Super sekali gus menjarakkan kedudukan dengan pesaing terdekat, Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

Katanya, perbezaan dua mata berbanding Johor DT kini belum menjamin keselesaan sebaliknya pemain perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan prestasi cemerlang hingga tamat baki saingan liga.

“Memang benar kemenangan itu memberi motivasi terbaik kepada pasukan tetapi pemain perlu kekalkan fokus kerana perjalanan masih jauh dan liga baru saja tamat pusingan pertama.

“Mereka diharap meneruskan momentum terbaik biarpun saingan liga diteruskan pada Ramadan dan tiada alasan untuk tidak mempamerkan prestasi meyakinkan,” katanya.

Pahang kini mengungguli takhta liga dengan mengutip 23 mata selepas 11 perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 9:00 AM