GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Putrajaya: Permohonan Fasa 2 UPUOnline® bagi kemasukan pelajar Sesi Akademik 2024/2025 ke program Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di 20 universiti awam (UA), 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) akan dibuka hari ini hingga 9 Jun.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan permohonan itu hanya dibuka bagi program pengajian yang tidak bertemu duga atau ujian dan semua calon yang berkelayakan dipelawa mengambil peluang berkenaan bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

"Terdapat sebanyak 504 program pengajian ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 1,114 program pengajian kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf oleh UA, politeknik, kolej komuniti dan ILKA di seluruh negara," menurut kenyataan itu di sini hari ini.

KPT memaklumkan calon boleh membuat pembelian nombor PIN UPUOnline® melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Februari 2024 sebelum mengemukakan permohonan menerusi kaedah bayaran proses UPUOnline® di BSN melalui 350 kaunter cawangan BSN, 700 mesin pengeluaran wang automatik (ATM) BSN dan perbankan Internet myBSN.

Menurutnya, BSN akan mengeluarkan nombor Pin UPUOnline® berserta salinan resit pembayaran dan calon dinasihatkan untuk memastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian, disimpan untuk rujukan.

Dalam pada itu, KPT memaklumkan Program Jom Masuk U 2024 (JMU2024) akan dianjurkan bermula 4 Mei hingga 9 Jun ini di 10 zon seluruh negara.

Penganjuran JMU2024 itu bertujuan mempromosi maklumat mengenai program pendidikan yang ditawarkan oleh institusi pendidikan tinggi di bawah KPT yang merangkumi UA, Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS), politeknik, kolej komuniti (KK) serta pembabitan ILKA.

Menurut KPT, JMU2024 menyasarkan kumpulan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM, STPM, Matrikulasi, Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Diploma atau setaraf.

Majlis perasmian JMU2024 akan dilaksanakan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar, manakala majlis penutupan akan diadakan di UiTM Cawangan Sabah, Kampus Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 5:42 PM