GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Suraya Roslan


KEPUTUSAN permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diketahui pada 3 Jun ini.

Kemasukan ke Program Pengajian Asasi, Sijil, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda boleh disemak mulai jam 12 tengah hari melalui saluran hebahan di UPUPocket 2.0 dan juga melalui pautan http://jpt.umt.edu.my; http: jpt.ums.edu.my; https://jpt.unimas.my; https://jpt.utm.my; dan http://jpt.uum.edu.my.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 205,972 permohonan bagi lepasan SPM diterima dan calon terdiri daripada mereka yang layak dan melepasi syarat am serta khas program pengajian bagi kemasukan ke UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA.

"Kementerian mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada pemohon yang berjaya menerima tawaran.

"Surat tawaran akan dikeluarkan oleh pihak UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA dan semua calon yang berjaya dikehendaki membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang ditetapkan," katanya.

Menurutnya, tawaran tempat adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran adalah tidak dibenarkan.

"Pemohon yang gagal menerima sebarang tawaran ke institusi terpilih boleh mengemukakan rayuan iaitu bagi permohonan ke UA, IPG, Kolej Matrikulasi, rayuan boleh dibuat melalui UPUOnline Rayuan di pautan http://upu.moe.gov.my dalam tempoh lima hari bekerja mulai 3 hingga 10 Jun jam 12 tengah hari hingga 5 petang.

"Bagi permohonan ke Politeknik Premier, Politeknik Konvensional / METRO, Kolej Komuniti dan ILKA, rayuan boleh dibuat dengan mengemukakan permohonan terus kepada agensi berkaitan.

"Dasar pemilihan rayuan adalah untuk mengisi kekosongan tempat mengikut program pengajian di UA, IPG, Kolej Matrikulasi, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA selepas pendaftaran pelajar baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 2:59 PM