SALMAH menyampaikan nota kolaborasi kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah Kampung Gajah, Norhisyam Karno.
SALMAH menyampaikan nota kolaborasi kepada Ketua Penolong Pegawai Daerah Kampung Gajah, Norhisyam Karno.
Fazurawati Che Lah


KOLEJ Komuniti Pasir Salak (KKPS), Kampung Gajah, Perak komited memperkasakan pendidikan yang berteraskan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) kepada komuniti luar terutama pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sehubungan itu, pelbagai inisiatif dilaksanakan KKPS menerusi jaringan komunikasi dan kerjasama bersama 16 sekolah sekitar daerah Perak Tengah dan daerah Manjung melalui program Sekolah Angkat 2019.

Pengarah KKPS, Salmah Ijam berkata, pihaknya berusaha merealisasikan saranan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bagi meningkatkan keupayaan institusi dan sistem TVET supaya terus kekal kompetitif dan menepati kehendak pasaran.

Katanya, saranan Dr Maszlee antara lain menyarankan tiga inisiatif baharu Kolej Komuniti sebagai langkah penambahbaikan dan peningkatan mutu pendidikan kolej komuniti melalui empat laluan baharu iaitu Apprenticeship, Professional Certification, Entrepreneurship dan Sijil Kolej Komuniti (Persediaan).

“Pelajar lepasan SPM tidak perlu ragu-ragu untuk menyertai KKPS kerana kursus kemahiran yang ditawarkan kolej komuniti memiliki nilai kebolehpasaran.

“Langkah proaktif melaksanakan program Sekolah Angkat 2019, bertujuan memberi pendedahan kepada lepasan SPM berkenaan peluang pendidikan selepas SPM dalam bidang TVET.

“Di samping itu, program berkenaan juga membantu memberi kefahaman kepada pelajar berkenaan laluan kerjaya dan kebolehpasaran dalam bidang TVET,” katanya.

KKPS juga menawarkan empat kursus pada peringkat sijil iaitu Sijil Pengendalian Acara, Sijil Teknologi Maklumat, Sijil Servis Kenderaan Ringan dan Sijil Pemprosesan dan Kawalan Mutu Makanan.

Salmah berkata, pelatih mempamerkan mutu kerja terbaik dan semangat ingin mempelajari sesuatu yang baharu ketika menjalani latihan industri, kebanyakannya ditawarkan pekerjaan sebaik tamat latihan industri.

“Ini membuktikan pihak industri sangat berpuas hati dengan tahap kemahiran yang dimiliki pelajar kolej komuniti kerana pendedahan secara praktikal realiti dunia pekerjaan sebenar turut diberikan,” katanya.

Katanya, tahap kebolehpasaran pelajar KKPS setakat ini sangat baik dan ramai juga yang memilih menyambung pengajian ke peringkat diploma di politeknik yang sesuai dengan bidang kemahiran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:20 AM