SHARIFAH (dua dari kiri) bersama penerima anugerah yang lain.
SHARIFAH (dua dari kiri) bersama penerima anugerah yang lain.

Shah Alam: “Tindakan nekad saya berhenti dari sebuah universiti tempatan menghampakan ibu bapa, namun saya minta mereka beri peluang kedua untuk menyambung pengajian di sini dan ini (anugerah) untuk mereka,” kata Sharifah Shahnaz Hassan Syed Adil Hassan, 22.

Dia adalah penerima Anugerah Emas Canselor pada Majlis Konvokesyen ke-17 Management Science Universiti (MSU), di sini, semalam.

Sharifah Shahnaz berkata, ketika di universiti, dia mendapat tempat di Asasi Sains Hayat, namun disebabkan tidak berminat dia tidak mahu menyambung pengajian, sebaliknya memohon jurusan Forensik Komputer di MSU yang sangat diminatinya.

Katanya, walaupun dia tahu ibu bapanya hampa dengan keputusan itu, namun mereka akur, malah meletakkan syarat dia perlu mendapat keputusan cemerlang.

“Saya sedar sebagai anak sulung daripada dua beradik, saya perlu menunjukkan contoh terbaik seterusnya dapat membantu keluarga pada masa depan.

“Justeru, saya belajar bersungguh-sungguh dan penat lelah selama tiga tahun berbaloi apabila berjaya mendapat keputusan CGPA 3.97,” katanya.

Sharifah Shahnaz antara 1,234 graduan MSU yang menerima skrol daripada Canselor MSU yang juga Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Lima kategori anugerah khas untuk graduan cemerlang dianugerahkan kepada 44 graduan membabitkan Pingat Emas Canselor, Anugerah Presiden, Mohd Shukri Yajid Outstanding Award, Anugerah Akademik dan Anugerah Industri.

Turut hadir, Pro-Canselor MSU Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Mohd Noordin serta Presiden MSU Prof Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.

Sementara itu, Dr Mohd Shukri berkata, MSU melalui Pelan Strategik 10 tahun (2011-2020) menekankan pengalaman pembelajaran menyeluruh yang merangkumi enam teras utama iaitu pengalaman pembelajaran, sistem penyampaian pembelajaran, persekitaran pembelajaran, inovasi dan penyelidikan, pengantabangsaan serta kampus hijau.

Beliau berkata, ia selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pengajian Tinggi) dalam usaha negara melahirkan graduan holistik serta memenuhi 10 anjakan digariskan PPPM.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Jun 2015 @ 7:50 AM