GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim


Machang: Felcra Berhad mengenal pasti lokasi tanah yang mencukupi bagi membangunkan aktiviti agro makanan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu adalah tanggungjawab baharu Felcra untuk membantu kerajaan dan rakyat dengan melakukan aktiviti pengeluaran bahan makanan.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, setakat ini pihaknya sudah memiliki estet padi seluas 3,000 hektar di Perak selain mengenal pasti 12,000 hektar di Sarawak dan 6,000 hektar di Sabah untuk dijadikan estet padi.

"Apa yang Felcra lakukan ini bagi membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengurangkan import bahan makanan seperti beras, ayam, daging, telur serta beberapa makanan lain.

"Kita bukan mahu bersaing dengan pengeluar sedia ada, sebaliknya ia sekadar mengurangkan kos sara hidup dan mahu memastikan bekalan makanan ini bukan bermusim," katanya pada sidang media Majlis Mesra Aidilfitri anjuran FELCRA di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi FELCRA, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

AHMAD Zahid bersalaman dengan orang ramai di Majlis Sambutan Aidilfitri Felcra Bhd di Machang. Turut hadir Ahmad Jazlan (kiri). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Zahid bersalaman dengan orang ramai di Majlis Sambutan Aidilfitri Felcra Bhd di Machang. Turut hadir Ahmad Jazlan (kiri). FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid usaha yang dilakukan Felcra itu antara lain turut memberi peluang kepada peserta serta generasi kedua agensi berkenaan dalam menambah pendapatan.

"Untuk di Sabah dan Sarawak, kita sudah mendapat persetujuan dan kerja-kerja awalan kajian juga sudah dilakukan. Manakala di Perak pula estet padi sudah berjalan.

"Bagaimanapun, penambahan estet padi di kawasan lain bergantung kepada ketersediaan tanah yang luas dan mencukupi untuk dijadikan estet padi.

"Disamping itu, Felcra turut mempunyai entiti perniagaan dan kita akan memantau bagi mengembangkan lagi urus niaga agensi berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mei 2023 @ 1:50 PM