AHMAD Zahid, gambar fail. FOTO Bernama
AHMAD Zahid, gambar fail. FOTO Bernama
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kerajaan mengenal pasti 4,839 hektar tanah berpotensi di Sabah dan Sarawak untuk membangunkan projek estet padi bagi menjamin sekuriti makanan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau mengadakan perundingan bersama Ketua Menteri Sabah dan Premier Sarawak bertujuan merealisasikan usaha menjamin keselamatan makanan negara dan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras Negara.

Katanya, kedua-dua negeri itu memberikan maklum balas yang amat positif terhadap cadangan berkenaan.

"Beberapa siri perbincangan juga diadakan bersama Jawatankuasa Teknikal di kedua-dua wilayah.

"Sehingga kini, jumlah keluasan kawasan berpotensi yang sesuai untuk pembangunan estet padi adalah seluas 4,839 hektar.

"Sebanyak 2,159 hektar di Sabah (yang bertumpu di Daerah Beluran dan Kota Belud) dan 2,680 hektar di Sarawak (yang bertumpu di Daerah Batang Lupar)," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai lokasi terperinci lokasi dan peruntukan bagi projek penanaman padi di kawasan seluas 50,000 hektar di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu berkata, Felcra Berhad dipertanggungjawabkan untuk membangunkan estet padi berskala besar di Sabah dan Sarawak seperti mana projek dilaksanakan di Seberang Perak.

"FELCRA memajukan seluas lebih daripada 4,500 hektar tanaman padi di Seberang Perak yang menghasilkan purata produktiviti sebanyak lima metrik tan sehektar semusim atau 22,500 metrik tan semusim.

"Ini bermakna, pengeluaran tahunan padi di Seberang Perak adalah 45,000 metrik tan setahun. Estet padi Seberang Perak telah dapat memberikan manfaat kepada 1,035 peserta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 12:39 PM