Hazira Ahmad Zaidi

Machang: Rakyat yang memiliki tanah yang tidak diusahakan adalah disarankan untuk menyertai Kempen Pembangunan Tanah Terbiar Bersama FELCRA yang akan memberi manfaat kepada mereka.

Pengerusi FELCRA Berhad (FELCRA), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, ia terbuka kepada seluruh rakyat di negara ini dengan syarat tanah yang hendak dimajukan sesuai untuk tanaman komoditi utama seperti getah dan kelapa sawit.

Katanya, pihak FELCRA sedia membantu menyediakan kepakaran dari segi pengurusan serta pembangunan ladang seperti menyediakan pekerja dan juga

pelbagai peralatan kemudahan yang perlu disediakan di ladang berkenaan.

"Menguruskan ladang ini nampak pada mata kasar keberangkaliannya amat mudah, tetapi ia perkara yang merumitkan, namun FELCRA mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

"Bagi memastikan memperoleh hasil yang optimum dengan pengurusan yang cekap, buat masa ini FELCRA hanya menerima keluasan minimum 121.41 hektar secara berkelompok.

"Ia tidak akan menjadi komersil sekiranya keluasan tanah dalam jumlah yang terlalu kecil dan rakyat boleh berpakat untuk menyerahkan tanah mereka secara berkelompok kepada FELCRA untuk dimajukan.

"Hasilnya kita akan tolak daripada perbelanjaan pembangunan selebihnya keuntungan kita berikan kepada rakyat atau peserta," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Program Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia Felcra Bhd di Tapak Lebuhraya Padang Limau Kg Bukit Bakar, Machang, di sini, sini, hari ini.

AHMAD Jazlan (dua kiri) menyampaikan bakul makanan kepada keluarga miskin ketika hadir pada Majlis Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia Felcra Berhad 2022 di Tapak Lebuhraya Kampung Padang Limau, Bukit Bakar . FOTO Nik Abdullah Nik Omar
AHMAD Jazlan (dua kiri) menyampaikan bakul makanan kepada keluarga miskin ketika hadir pada Majlis Jelajah Mini Karnival Keluarga Malaysia Felcra Berhad 2022 di Tapak Lebuhraya Kampung Padang Limau, Bukit Bakar . FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan berkata, FELCRA sudah mengenalpasti hampir 1,500 peserta seluruh negara bagi tujuan penanaman semula kelapa sawit untuk pusingan kedua setelah tanaman itu menjangkau usia 25 hingga 30 tahun, namun ia tertakluk kepada peruntukan kerajaan dan persetujuan pemilik tanah.

"Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK 12), kami menyasarkan 50,000 hektar penanaman semula sawit bagi tempoh lima tahun melalui hampir 1,500 peserta seluruh negara yang sudah dikenal pasti.

"Bagaimanapun, kita masih lagi belum mempunyai kawasan baharu yang boleh diteroka untuk penanaman kelapa sawit dan setakat ini, FELCRA mempunyai 80 peratus tanaman kelapa sawit di seluruh negara manakala 20 peratus adalah tanaman getah dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata, setakat ini FELCRA menguruskan tanah seluas 120,000 hektar yang membabitkan seramai 107,000 peserta di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 7:28 PM