REBAN arnab terbuka yang diusahakan Mohd Fadhil.
REBAN arnab terbuka yang diusahakan Mohd Fadhil.
Hafiz Ithnin


MUNGKIN ada yang berasakan daging arnab sesuatu yang eksotik untuk dinikmati, tetapi hakikatnya, daging haiwan itu mempunyai permintaan tinggi di negara ini.

Ternyata perkara itu tidak boleh disangkal apabila pengusaha arnab pedaging dan penjual induk arnab dari Terengganu ini sentiasa tidak menang tangan untuk memenuhi pasaran setempat.

Mohd Fadhil Abdul Ghani yang mula menceburkan diri di dalam bidang penternakan, membekal daging dan menjual induk arnab pendaging sejak 2018, pada awalnya hanyalah sebagai hobi.

Pada permulaannya dia hanya membeli seekor induk arnab betina yang sudah bunting baka hibrid pada harga RM200.

Sementara menunggu kelahiran induk pertama itu, dia membeli empat induk betina yang sudah bunting dan seekor induk arnab jantan. Dalam tempoh sebulan Mohd Fadhil mempunyai lima induk arnab betina bunting itu, dia berjaya mempunyai 40 ekor anak arnab.

"Menariknya mengenai arnab ini, ia mempunyai kadar kelahiran yang tinggi iaitu jika di tempat saya paling minimum seekor induk betina mampu melahirkan empat ekor dan pernah sehingga 16 ekor.

"Tempoh arnab untuk bunting juga tidak lama iaitu kira-kira sebulan sahaja. Seekor arnab betina induk mampu bunting antara lima hingga lapan kali setahun," katanya.

Daripada enam ekor arnab induk dimilikinya, kini Mohd Fadhil sudah mempunyai lebih 600 ekor arnab pedaging yang bukan sahaja dari baka tempatan malah import dari Indonesia, Perancis dan Amerika Syarikat.

Antara baka arnab yang dimiliki Mohd Fadhil ketika ini adalah New Zealand white, New Zealand Rex, New Zealand Black, New Zealand Blue, New Zealand Broken Black, California, Hybrid Hypharm, Hybrid Hycole, Mix Anggora dan Mini Red.

BAKA arnab Californian antara yang diimport.
BAKA arnab Californian antara yang diimport.

Sejak tahun lalu, Mohd Fadhil mula mengimport arnab dari ketiga-tiga negara itu kerana ia mempunyai kadar kematangan yang lebih cepat iaitu dalam tempoh 64 hari sudah mencapai dua kilogram (kg) berbanding baka tempatan yang mengambil masa 90 hari untuk mendapatkan berat yang sama.

Katanya, tempoh matang yang cepat untuk arnab disembelih iaitu kira-kira tiga bulan selepas kelahiran turut menjadi faktor dia memilih bidang penternakan itu.

"Berbanding haiwan ternakan lain seperti lembu atau kambing, arnab ini lebih cepat untuk membiak dan tempoh yang cepat. Jika kena cara penjagaannya, kita mampu menjadi penternak yang baik.

"Ketika mula menceburi bidang ini, harga runcit bagi satu kg daging arnab antara RM28 hingga RM29. Kini dalam segmen runcit, dijual pada harga RM36 sekilogram. Bagi harga jualan daging borong pula RM30 sekilogram," katanya.

Mengenai cabaran mengusahakan ternakan itu, katanya, kualiti makanan menjadi isu utama kerana arnab memerlukan palet yang berkualiti bagi memastikan kesihatannya terjamin.

Jelasnya, ketika ini dia mengalami masalah mendapatkan palet bermutu yang mempunyai standard. Justeru, kadangkala arnab ternakan mengalami cirit-birit.

Oleh itu, ketika ini Mohd Fadhil dalam proses menghasilkan palet berteraskan sayur-sayuran yang mempunyai kualiti dan standard supaya pada masa depan tidak bergantung kepada pihak pembekal sahaja.

DAGING mentah arnab yang siap diproses.
DAGING mentah arnab yang siap diproses.

"Selain itu, suhu juga memainkan peranan penting untuk 'proses bunting' kerana haiwan itu memerlukan suhu di bawah 30 darjah Celsius. Biasanya saya akan menemukan induk jantan dan betina pada awal pagi kerana waktu itu suhu masih sejuk.

"Tambahan, arnab juga tidak boleh mengalami tekanan jika tidak, boleh mengakibatkan kematian. Saya pernah berdepan dengan 69 kematian arnab kerana keadaan persekitaran yang bising pada 2019," katanya.

Oleh itu, bagi memastikan kadar bunting yang tinggi dalam kalangan ternakan arnabnya, Moh Fadhil bercadang mewujudkan kandang tertutup dalam masa terdekat ini.

Katanya, bagi memastikan ternakan arnab dalam keadaan baik dan berkualiti, mengikuti kursus ternakan haiwan itu adalah langkah terbaik kerana perkongsian pengalaman daripada pemain industri dan pihak berkuasa seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar amat membantu penternak untuk memperbaiki sistem ternakan itu sendiri.

Mengenai produk daripada arnab, Mohd Fadhil berkata, selain membekalkan induk dan daging mentah, dia juga menghasilkan daging perap dan minyak daripada lemak arnab.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 6:47 AM