TURUT bela baka unik Minirex Broken sebab sukakan warna dan bulu baka itu mempunyai tekstur selembut bulu permaidani.
TURUT bela baka unik Minirex Broken sebab sukakan warna dan bulu baka itu mempunyai tekstur selembut bulu permaidani.
Nurul Husna Mahmud

Tidak rumit, mudah diuruskan selain mampu tingkatkan produktiviti daging menerusi kaedah 'mating' (kahwinkan) menjadikan penternakan arnab satu prospek yang boleh membantu menjana pendapatan lebih baik.

Menurut Pengurus KM Barokah Enterprise yang juga Pengasas Supplier Arnab Terbesar Khozairi Musauwir Mohd Habib, 31, tanggapan ramai orang mengenai daging arnab hanya dinikmati segelintir orang, namun potensi terutama penawaran bekalan daging bagi produk segar itu belum dapat menampung keperluan pasaran.

"Sejak daging arnab mula diternak secara komersial bermula 90-an lagi, kebanyakan mereka fokus kepada penternakan induk.

"Tidak banyak menyasarkan ternakan bagi tujuan daging. Ladang kami yang beroperasi sejak Januari 2019 di Kampung Rantau Panjang, Klang, Selangor pula menyasarkan 90 peratus hasil penternakan bagi tujuan mendapatkan daging sementara 10 peratus penternakan induk atau baka.

"Atas sebab itu kaedah saya ternak arnab ialah dengan menetapkan setiap induk yang ada sekurang-kurangnya boleh melahirkan lima ekor bagi setiap kali beranak. Ia bagi mendapatkan bekalan daging yang konsisten setiap bulan," katanya yang menggunakan baka New Zealand White dan arnab campuran pedaging.

Memperincikan kaedah 'kahwin' arnab, kata Khozairi, teknik itu penting memastikan penternak dapat tingkatkan margin pengeluaran daging setiap bulan dan mengurangkan kos operasi yang kebanyakannya disebabkan kos palet sering naik setiap dua hingga tiga kali setahun.

"Dalam penternakan haiwan, penternak mempunyai cara tersendiri untuk memastikan mereka dapat tingkatkan keuntungan dan mengurangkan kos operasi ladang setiap bulan.

"Pengalaman dan hasil saya berguru dengan beberapa penternak lain, saya wujudkan sistem amalan sendiri iaitu arnab perlu dikahwin secara intensif.

"Selepas sahaja induk ini beranak, saya akan kahwinkan kembali arnab kemudian dalam tempoh 10 hari atau 14 hari, saya akan periksa semula di bahagian bawah paha haiwan itu jika terdapat ketulan seperti 'biji angin' menandakan ia sudah bunting.

SEMBELIHAN antara kemahiran dimiliki Khozairi.
SEMBELIHAN antara kemahiran dimiliki Khozairi.

"Jika tidak, saya akan kahwinkan semula dan kaedah ini membolehkan seekor induk beranak lapan kali setahun serta induk sama boleh digunakan sehingga dua tahun," katanya.

Ladangnya itu memiliki 200 hingga 250 ekor induk dengan kapasiti pengeluaran 500 hingga 700 kilogram daging segar arnab setiap bulan.

Kata Khozairi, yang turut menjalankan kursus penternakan haiwan itu, rutin penjagaan juga iaitu membekalkan makanan mencukupi iaitu 80 hingga 160 gram (gm) palet bagi arnab daging dan induk selain keperluan seperti supplemen disarankan doktor veterina adalah kos masih boleh diserap dengan keuntungan sebaik daging dituai setiap tiga bulan sekali.

"Di ladang ini rutin pemberian makanan adalah sehari sekali iaitu 80gm bagi arnab bagi daging sementara 160gm untuk induk kerana bantu untuk menyusu anak dan keperluan lain seperti supplemen.

"Arnab di ladang ini akan disembelih apabila usia mencecah tiga bulan dan saya mempunyai kad Tauliah Sembelihan Halal Komersial untuk melakukan sendiri proses itu. Ini menjimatkan kos operasi," katanya.

Menjelaskan sepanjang tempoh pihaknya membekalkan daging berkenaan, dia mendapati potensi daging itu cukup tinggi terutama dalam produk hiliran.

"Mengenai daging arnab, walaupun tanggapan orang, pemakan daging arnab tidak ramai, tetapi permintaan untuk membekalkan daging berkenaan cukup tinggi.

PRODUK dikeluarkan berasaskan daging arnab.
PRODUK dikeluarkan berasaskan daging arnab.

"Apatah lagi kepelbagaian hasil hiliran boleh diketengahkan pada produk berkenaan. Saya tidak hanya menternak sebaliknya turut menjalankan kerja pemasaran produk daging berasaskan daging arnab," katanya.

Tambah Khozairi ketika ini dia dibantu empat adik perempuan dan seorang adik ipar turut mengembangkan lapan pilihan produk hasil daging arnab. Ia termasuk daging burger yang ketika ini mendapat sambutan dalam kalangan penjual gerai sekitar Klang.

"Dalam produk daging ini kami tidak hanya menjual segar, saya dan pasukan Supplier Arnab Terbesar turut datang dengan pelbagai produk untuk memenuhi sektor makanan kerana kami sedar daging ini antara paling baik untuk kesihatan.

"Selain dijual dalam bentuk kaskas iaitu seekor bagi arnab golek atau salai, ada juga kami datang dalam pakej daging cincang untuk diperap atau direndang dan terkini dalam bentuk 'patty' iaitu kepingan daging burger.

"Disebabkan pelbagai seleksi, bukan sahaja saya perlu pastikan pengeluaran daging dalam ladang mencukupi, saya beli daging penternak lain untuk menampung keperluan setiap bulan," katanya.

Pihaknya ketika ini optimis menyasarkan pengeluaran hasil daging satu tan sebulan bagi perancangan untuk penghasilan produk hiliran seperti rendang dan serunding yang ketika ini dalam perancangan syarikatnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 6:47 AM