Siti Rohana Idris


Tumpat: Kelincahannya beraksi di padang bola suatu ketika dulu menjadi perhatian ramai, malah namanya sering meniti di bibir peminat bola sepak.

Kini, selepas empat tahun meninggalkan arena bola sepak, bekas penyerang yang pernah mewakili beberapa pasukan terutamanya pasukan The Red Warriors, Muhammad Ramzul Zahini Adenan, 34, mencuba nasib dalam bidang penternakan arnab pedaging baka New Zealand White.

Dia memulakan usaha itu sejak tiga tahun lalu sebaik bersara daripada sukan bola sepak disebabkan kecederaan ligamen lutut.

Malah, Muhammad Ramzul enggan menoleh ke belakang dan berhempas pulas mengembangkan 'Ramzul Adenan Farm'.

"Saya 'terjun' dalam bidang penternakan arnab pedaging ini apabila diperkenalkan oleh seorang rakan.

"Berbekalkan kos RM5,000, saya membeli 20 ekor arnab dan cuba membela di sekitar rumah selain membina kandang kecil.

"Selepas setahun menternak dengan skala kecil, saya mengeluarkan modal besar RM50,000 bagi pembinaan kandang lebih besar.

"Kini, arnab pedaging yang saya ternak sudah melebihi 400 ekor yang dijadikan sebagai induk, malah arnab jenis ini boleh mula dibuntingkan seawal usia empat bulan dengan tempoh bunting pula sekitar 30 hari dan mampu menghasilkan antara empat hingga 10 ekor anak," katanya.

Dia ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Pekan Hilir, di sini, baru-baru ini.

Muhammad Ramzul berkata, arnab pedagingnya menerima sambutan menggalakkan selain tidak menghadapi masalah pasaran, sebaliknya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan.

Dia yang dibantu bapa Adenan Yusuf, 58 berkata, daging arnab baka itu dijual pada harga RM35 sekilogram untuk harga runcit, manakala antara RM30 hingga RM33 untuk borong sentiasa laris disebabkan isinya yang padat kerana berat bagi seekor arnab pedaging baka New Zealand White itu boleh mencecah sehingga lima kg selain rasanya lebih manis.

"Selain pasaran tempatan, saya turut memasarkan daging arnab ini ke Johor dan Kedah dan buat masa kini memang sangat laris malah saya juga terpaksa menolak permintaan daripada sebuah syarikat francais membuat burger untuk mendapatkan bekalan kerana tidak mampu mengeluarkan kuantiti seperti yang diminta," katanya.

Bagi proses penjagaan, bapa kepada seorang cahaya mata berusia lima tahun itu berkata, arnab pedaging tidak memerlukan penjagaan rapi dan hanya perlu menjaga jadual makan serta memberikan pemakanan seimbang namun baka ini juga agak sensitif dengan cuaca panas.

Katanya lagi, dia akan menjirus air atas bumbung kandang bagi mengelakkan haba panas kerana cuaca panas melampau boleh menyebabkan arnab 'stres' seterusnya mati.

"Arnab baka ini memang senang dijaga dan saya cuma perlu peka dengan keadaan cuaca saja lebih-lebih lagi dengan keadaan sekarang yang kemarau dan saya perlu sentiasa membasahkan bumbung kandang bagi mengelakkan lebih banyak arnab mati," katanya yang berhasrat untuk membesarkan lagi usahanya itu.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mac 2021 @ 2:32 PM
Muhammad Ramzul bersama arnab Induk baka arnab pedaging baka jenis New Zealand White di kamdangnya terletak di Kampung Pasir Pekan Hilir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Muhammad Ramzul bersama arnab Induk baka arnab pedaging baka jenis New Zealand White di kamdangnya terletak di Kampung Pasir Pekan Hilir. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR