NURAFIQAH diberi peluang berucap selepas menerima pengiktirafan tertinggi, Anugerah Juara Susu.
NURAFIQAH diberi peluang berucap selepas menerima pengiktirafan tertinggi, Anugerah Juara Susu.
MURTADZA menerima anugerah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The Holstein Milk Company Loi Tuan Ee sambil diperhatikan Azmi (dua dari kiri)
MURTADZA menerima anugerah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif The Holstein Milk Company Loi Tuan Ee sambil diperhatikan Azmi (dua dari kiri)
Zaitie Satibi

Kedua-duanya pernah gagal dalam perniagaan hingga terpaksa menempuh saat-saat yang sukar, namun kehidupan masing-masing berubah menjadi lebih baik selepas menyertai keluarga pengeluar susu segar, Farm Fresh, sebagai wakil jualan.

Bagi Murtadza Zaim Mohd Zain, 35, (kanan) lazimnya ada hikmah di sebalik setiap musibah yang dialami seseorang dan atas alasan itu beliau gigih membina semula kejayaan dalam bidang perniagaan serta berazam tidak lagi mahu mengulang kesilapan pernah dilakukan.

Malah, pengalaman kerugian ribuan ringgit selain menanggung hutang susulan perniagaan yang diusahakannya merudum hingga kehilangan harta benda sentiasa mengingatkannya bahawa untuk berjaya seseorang itu tidak boleh leka dan perlu sentiasa beringat.

“Saya pernah merasa bekerja makan gaji, namun kemudian memilih untuk berniaga kerana minat yang menebal dalam bidang keusahawanan di samping mahu mencari pendapatan tambahan bagi menyara keluarga.

“Selepas bisnes gagal ketika itu, saya rasa teruk sangat. Kehidupan mula terumbang-ambing, saya tidak dapat menampung keperluan keluarga dan rumah tangga juga bermasalah hingga terpaksa berpisah dengan isteri.

“Selama dua tahun juga saya menderita sebelum nekad bangkit semula sebagai usahawan. Saya kemudian mencari-cari perniagaan yang sesuai sebelum tertarik untuk menyertai seminar keusahawanan dalam jualan susu segar anjuran Farm Fresh di Putrajaya pada 2015,” katanya.

Bermodalkan RM3,000 pada Oktober tahun berkenaan, Murtadza kemudian menjual susu segar Farm Fresh di pasar tani, sekolah dan masjid di sekitar Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor. Bagaimanapun, kejayaan tidak hadir sekelip mata apabila dia turut berdepan keperitan menaikkan perniagaan barunya itu terutama untuk meningkatkan jualan.

“Pada penghujung 2015, saya kemudian mengetengahkan jualan berkonsepkan ejen setempat dan bertindak sebagai stokis. Kaedah ini awalnya dimulakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor sebelum diluaskan ke seluruh Malaysia.

“Hasilnya, jualan susu segar meningkat 300 peratus. Jualan memuncak selepas susu kurma yang juga produk baru Farm Fresh yang diperkenalkan Ramadan tahun lalu menjadi fenomena.

“Saya turut berupaya membuka kios sendiri dinamakan Milk Bar di Anggerik Mall, Shah Alam dan satu lagi bakal dibuka di KL Sentral untuk meluaskan pasaran,” katanya.

Murtadza turut menganjurkan sesi ‘sembang susu’ menerusi laman sosial bagi membuka peluang kepada lebih ramai menyertai perniagaan berkenaan dengan menjadi ejen setempat.

Kini beliau mempunyai kira-kira 54 ejen setempat dan dua daripadanya turut mengikut jejak langkahnya membuka kios menjual susu segar, Milk Ministry di Putrajaya dan Oh My Susu di Balakong.

Hasil kegigihan Murtadza meningkatkan edaran susu menerusi konsep ejen setempat, dia berjaya mencapai sasaran jualan sepanjang tahun melebihi RM1 juta pada tahun lalu dan ia membolehkan lelaki berkenaan menerima Anugerah Million Dollar. Beliau turut menerima dua lagi anugerah untuk Master Stokis dan Kepimpinan Terbaik.

Sementara itu, penerima Anugerah Juara Susu, Nurafiqah Anuar, 31, pernah mengusahakan perniagaan mengimport tekstil tetapi terpaksa ditutup ketika negara mengalami kejatuhan nilai mata wang tahun lalu, namun beliau gigih membina semula kejayaan dalam dunia perniagaan dengan menjadi ejen setempat di bawah Murtadza.

“Saya tertarik menjual susu segar selepas susu kurma menjadi tular dan memikirkan mungkin ini peluang yang baik untuk saya kembali menjadi usahawan.

“Saya melakukan carian dalam laman sosial bagaimana untuk menjual susu segar berkenaan dan menemui ‘sembang susu’ yang dikendalikan Murtadza.

“Tanpa berlengah, saya berjaya menempatkan diri sebagai ejen setempat di kawasan Sentul, Kuala Lumpur, dengan modal awal RM700. Dalam tempoh dua minggu saya mampu meraih keuntungan kira-kira RM3,000.

Menurut Ketua Pegawai Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Azmi Zainal, anugerah berkenaan bagi mengiktiraf usaha, komitmen serta kegigihan ejen pengedar dalam meningkatkan jualan dan memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan, di samping menghimpunkan usahawan produk susu segar di bawah jenama Farm Fresh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 10:55 AM