RAKYAT Palestin tetap mengibarkan bendera negara itu meskipun sedang bertempur dengan tentera Israel yang mencurangi perjanjian gencatan senjata. FOTO AFP
RAKYAT Palestin tetap mengibarkan bendera negara itu meskipun sedang bertempur dengan tentera Israel yang mencurangi perjanjian gencatan senjata. FOTO AFP
Datuk Mohd Ajib Ismail

Antara kewajiban di dalam kehidupan bermasyarakat bagi seorang Muslim adalah menunaikan hak ke atas Muslim yang lain. Sabda Rasulullah SAW di dalam sebuah hadis yang bemaksud: "Rasulullah SAW memerintahkan kami untuk melakukan tujuh perkara dan melarang kami daripada tujuh perkara. Baginda memerintahkan untuk menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan kebaikan untuk orang yang bersin, memenuhi jemputan, menyebarkan salam, membantu orang yang dizalimi dan membantu dan berbuat baik pada orang yang bersumpah (supaya tidak dianggap melanggar sumpah). Baginda juga melarang kami daripada memakai cincin emas, minum daripada bekas perak, menaiki tunggangan yang dihiasi sutera, melarang daripada memakai Al-Qassi (sejenis sutera) dan melarang daripada memakai kesemua jenis sutera." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Justeru, setiap Muslim wajar menzahirkan keprihatinan dan kecaknaan terhadap sebarang isu dan permasalahan yang dihadapi oleh ummah pada setiap masa. Seorang Muslim mempunyai tanggungjawab terhadap orang di sekelilingnya yang berada dalam kesusahan dan memerlukan sama ada dalam kalangan ahli keluarga sendiri, saudara-mara, jiran tetangga dan masyarakat. Di dalam al-Quran surah al-Nisa' ayat 36 Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri."

Baru-baru ini ketika umat Islam di ambang ketibaan Aidilfitri, kita dikejutkan lagi dengan berita serangan tentera Israel terhadap rakyat Palestin yang telah berlarutan hingga ke hari ini. Islam menuntut agar kita menzahirkan keprihatinan terhadap situasi rakyat Palestin yang berjuang mempertahankan tanah air mereka daripada pencerobohan dan kezaliman. Allah SWT berfirman di dalam surah an-Nisa' ayat 74 yang bermaksud: "Oleh itu, orang-orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar."

Terdapat pelbagai cara bagi umat Islam menzahirkan kecaknaan terhadap isu tersebut termasuk melalui amalan solat hajat, bermunajat dan berdoa, serta menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin melalui saluran yang sah. Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) telah menganjurkan solat Hajat dan doa selamat di masjid dan surau seluruh Wilayah-Wilayah Persekutuan susulan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang turut berdukacita terhadap tindakan serangan yang tidak berperikemanusiaan itu. Selain itu, Jawi juga telah melancarkan inisiatif kutipan sumbangan untuk rakyat Palestin sebagai lambang solidariti umat Islam.

Doa dan munajat adalah kekuatan paling ampuh serta ibadah yang dituntut dan ditunjukkan oleh nabi Muhammad SAW ketika menghadapi ujian getir dan musibah dalam kehidupan. Oleh itu janganlah kita berputus asa untuk berdoa dengan penuh pengharapan dan keyakinan agar dimakbulkan oleh Allah SWT. Antara doa yang dianjurkan adalah bacaan qunut nazilah yang pernah dibaca oleh Saidina Umar RA ketika memerangi orang nasrani yang bermaksud: "Ya Allah azabkanlah orang kafir daripada ahli kitab yang menghalang jalan-Mu dan tidak membenarkan Rasul-rasul-Mu dan membunuh para auliya-Mu, Ya Allah ampunkanlah orang-orang Mukmin, dan orang-orang Islam, dan perelokkan serta satukan kesatuan mereka dan letakkanlah di hati mereka iman dan hikmah, dan kekalkan mereka di atas agama rasul-Mu, dan ilhamkan mereka untuk setia dengan janji-Mu yang telah engkau janjikan dan bantulah mereka dalam menghadapi musuh-Mu dan musuh mereka, Wahai Tuhan yang benar, jadikanlah kami golongan yang engkau bantu."

Keprihatinan kita juga dituntut bagi menjaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat susulan peningkatan kes Covid-19 di dalam negara. Jumlah kematian akibat wabak tersebut turut meningkat sehingga mencecah lebih 2,000 kematian sehingga kini. Pasukan pengurusan jenazah yang dianggotai oleh Jawi misalnya telah menguruskan lebih 312 jenazah yang dikaitkan dengan Covid-19 khususnya di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

Menjaga keselamatan diri adalah merupakan kewajiban setiap Muslim selaras dengan maqasid syariah yang menuntut memelihara nyawa. Di dalam al-Quran ditegaskan tentang kepentingan menyelamatkan nyawa melalui firman Allah di dalam surah al-Maidah ayat 32 yang bermaksud: "Dengan sebab (kisah pembunuhan kejam) yang demikian itu kami tetapkan atas Bani Israil bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkan membunuh orang itu atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia semuanya. Dan demi sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul kami dengan membawa keterangan yang cukup terang; kemudian, sesungguhnya kebanyakan daripada mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas (melakukan kerosakan) di muka bumi."

Imam Al-Ghazali menyatakan mewujudkan hifz an-nafs atau memelihara nyawa adalah bererti menjaga agama Islam. Justeru kita berkewajiban mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 serta mentaati perintah ulil amri demi kemaslahatan bersama. Beberapa media melaporkan sebahagian kes peningkatan penularan wabak terjadi akibat pelanggaran SOP dan sifat sambil lewa serta mementingkan diri sendiri. Oleh itu, setiap orang wajib mempertingkatkan ikhtiar bagi  menjaga keselamatan dan kesihatan diri dengan menjauhi perkara yang menyebabkan penularan penyakit tersebut kerana ia adalah sebahagian daripada tuntutan agama. Di dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Setiap orang Islam wajib mendengar dan mentaati dalam perkara yang dia sukai dan perkara yang dia benci, kecuali dia diperintah melakukan maksiat. Maka dia tidak boleh mendengar atau mentaati." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Imam al-Nawawi berkata: "Para ulama telah berijma' bahawa wajib mentaati pemerintah dalam perkara yang bukan maksiat dan haram mentaatinya dalam perkara maksiat." (al-Minhaj fi Syarh Sahih Muslim)

Marilah bersatu hati dan berganding bahu serta mengelakkan perpecahan dan pertelagahan sesama sendiri, sebaliknya bersolidariti terhadap musibah yang melanda umat Islam di seluruh dunia dan mendokong usaha dilaksanakan pelbagai pihak bagi memelihara kemaslahatan masyarakat dan Malaysia daripada bencana.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Mei 2021 @ 6:00 AM