GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

ISLAM berasal daripada perkataan ‘Salam’ bermakna damai, sejahtera dan selamat.

Keamanan dan kedamaian Islam dapat dilihat daripada ajarannya yang sesuai dengan fitrah manusia.

Ia seiring kehendak hidup manusia yang dapat dibuktikan menerusi kehidupan golongan yang menganut serta patuh dengan segala tuntutannya.

Mereka adalah orang yang damai dalam hidupnya sebagai seorang Muslim sama ada dilahirkan atau memilih Islam sebagai cara hidupnya.

Islam bukan agama yang mengajar kekerasan atau peperangan melainkan ia menghargai serta menganjurkan kesejahteraan hidup hakiki.

Kita dapat lihat dan dengar pelbagai kecaman dan penilaian pihak luar terhadap Islam khususnya dari dunia barat melalui media elektronik, media cetak dan lebih teruk kesannya adalah menerusi media sosial yang mudah ditularkan dengan begitu cepat.

Ia memberi pengaruh serta kesan terhadap pandangan masyarakat dunia. Akibatnya, Islam dilihat sebagai agama yang tidak mesra dan tidak berperikemanusiaan.

Mereka memanfaatkan saluran media itu untuk membangunkan serta menguasai pandangan masyarakat dunia bagi memaparkan imej buruk terhadap Islam dan umatnya.

Mereka cuba menutup serta menghapuskan setiap nilai positif yang dibina dunia Islam.

Ada juga mereka mengaku Muslim, tetapi ‘buta’ dengan tuntutan Islam sehinggakan mereka tidak segan silu melanggar perintah agama secara terbuka.

Golongan terbabit tidak mencerminkan peribadi sebenar Muslim, malah mengelirukan masyarakat bukan Muslim.

Ini sepertimana berlaku ke atas wanita Islam yang sepatutnya dilihat sebagai seorang yang bertudung atau menutup auratnya.

Apabila wanita Muslim tidak bertudung, sudah tentu memberikan imej yang bertentangan ajaran Islam.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Menutup aurat bagi seorang Muslimah di hadapan golongan bukan mahramnya adalah satu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan.

Ibu penulis pernah bertanya dan ketika itu beliau belum menerima Islam, kenapa ada wanita Islam tidak menutup kepalanya?

Bukan mudah untuk menjawab soalan itu kerana umat Islam sendiri pun tidak mahu menerima tanggungjawabnya sebagai Muslim, apatah lagi orang bukan Islam yang diminta untuk menerima Islam.

Maka, jawapan mudah penulis adalah sebab mereka tidak mengikut ajaran agamanya sendiri.

Lebih menyedihkan, ada segelintir wanita Islam sengaja membuka tudung dalam khalayak umum.

Ini jelas bertentangan suruhan Allah. Tindakan sebegini tidak boleh diterima kerana ia berlawanan dengan ajaran Islam selain menambah kekeliruan orang bukan Islam.

Sama-sama kita perbaiki kekurangan diri dan sentiasa berubah untuk menjadi Muslim yang lebih baik dari semasa ke semasa.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA)
dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2019 @ 7:30 AM