FOTO Hiasan. Agensi
FOTO Hiasan. Agensi
Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin

BARU-BARU ini, pimpinan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) menerima jemputan menghadiri satu majlis makan malam dianjurkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di ibu negara.

Dalam majlis itu, meja kami dikunjungi beberapa individu berbangsa Cina untuk berbual dan beramah mesra. Mereka mengucapkan ‘selamat datang’ dan ‘terima kasih’.

Mereka hairan dan berasa kagum kenapa kami boleh bertutur dalam bahasa Mandarin. Penulis kemudian memaklumkan kepada mereka bahawa kami semua berketurunan Cina.

Seorang wanita bertanya kepada salah seorang wanita Cina Muslim dalam kumpulan kami, “Kenapa kamu menutup kepala?” sambil menunjukkan kepala dengan tangannya.

Kami menjawab, “Kami adalah Mu si lin (Muslim dalam bahasa Mandarin). Terdapat seorang wanita agak kehairanan dan bertanya semula apakah itu Muslim?

Kami menjelaskan, orang beragama Islam dipanggil Muslim. Peristiwa itu menjadi sangat signifikan buat kami masyarakat Cina Muslim supaya terus istiqamah untuk menerangkan Islam terutamanya kepada mereka yang masih ramai yang belum memahami Islam.

Bagaimanapun, tidak bermakna orang Islam lain tidak perlu melakukan sebarang usaha untuk mendekati golongan itu.

Dalam satu kajian dijalankan Dr Osman Chuah (2005) ke atas 100 responden terdiri daripada masyarakat Cina bukan Islam mengenai kefahaman mereka ke atas Islam mendapati lebih 80 peratus tidak memahami ajaran Islam.

Bagi mereka, Islam bukan satu cara hidup dan agama yang ketinggalan zaman. Dapatan kajian itu walaupun sudah lebih 10 tahun berlalu, ia masih relevan sehingga kini. Masyarakat Cina bukan Islam masih jauh daripada memahami ajaran Islam.

Terlalu sedikit program dijalankan untuk memberi kefahaman Islam kepada mereka. Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu juga melaporkan, 90 peratus responden menyatakan tiada orang Islam datang kepada mereka untuk memberi penerangan mengenai Islam.

Bukan saja sedikit program dianjurkan pihak berkuasa, masyarakat Islam sendiri tidak pernah mengambil inisiatif untuk berkongsi keindahan dan kebaikan Islam dengan rakan mereka yang bukan Islam.

Dalam temu ramah program ‘Islam Agamaku’ yang disiarkan di Radio IKIM.fm iaitu segmen perkongsian pengalaman penghijrahan saudara baru Muslim menyatakan, hampir semua mereka tidak pernah diterangkan mengenai Islam sebelum kembali kepada fitrah Islam.

Selain itu, pada satu program silang budaya diadakan di Kolej Universiti Selatan anjuran Kolej Universiti Selatan, MACMA dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Johor sebelum ini mendapat sambutan di luar jangkaan apabila 500 masyarakat Cina bukan Islam dari luar dan dalam kampus menghadiri majlis berbentuk forum itu.

Dalam forum itu, peserta berpeluang bertanya pelbagai persoalan mengenai Islam. Beberapa peserta forum juga menyatakan rasa puas hati kerana mereka dapat memahami Islam dengan lebih jelas lebih-lebih lagi forum itu dikendalikan dalam bahasa Mandarin.

Salah seorang peserta yang ditemui mengakui masyarakat Cina takut dengan Islam kerana tidak benar-benar memahami mengenainya dengan jelas.

Dialog seumpama itu mampu menghapuskan salah faham masyarakat Cina mengenai Islam, seterusnya dapat meningkatkan lagi keharmonin dan kestabilan sosial.

Penulis Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Profesor di Universiti Putra Malaysia

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 January 2019 @ 1:30 AM