GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Mohd Shahrizal Nasir

ISLAM menentang segala bentuk kezaliman, penindasan, kekejaman dan keganasan.

Lihatlah sejarah tatkala Islam datang ke Madinah. Islam mempersaudarakan dua kaum yang sentiasa bertelingkah iaitu Aus dan Khazraj.

Persengketaan mereka berpanjangan sehingga puluhan tahun. Namun, Islam mempersaudarakan mereka semula sehingga kehidupan dua kaum itu diberkati Allah SWT.

Mereka mampu hidup dengan penuh damai dan harmoni. Hidup aman sesuatu yang mereka tidak kecapi sebelum kehadiran Islam ke Madinah.

Tidak ada manfaatnya jika umat Islam sentiasa bermusuhan kerana per-
musuhan membuka pintu kelemahan serta kehancuran.

Persaudaraan antara kaum Aus dan Khazraj adalah satu nikmat besar yang mereka peroleh setelah menerima Islam sebagai agama dan cara hidup yang komprehensif.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (ketika jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu ketika jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 103)

Hubungan umat Islam dengan orang kafir juga adalah satu hubungan yang harmoni.

Tiada permusuhan sesama manusia meskipun mereka tidak beriman kepada Allah SWT dan rasulNya.

Islam mengajar setiap umatnya menghormati pegangan agama mereka dan tidak sesekali mempersendakan kepercayaan mereka.

Tindakan mempersenda kepercayaan mereka hanya membuatkan mereka turut mempersendakan Islam. Akhirnya, permusuhan tercetus dan tiada siapa yang mendapat keuntungan daripadanya.

Allah SWT mengingatkan umat Islam mengenai hal itu menerusi firmanNya yang bermaksud: “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.” (Surah al-An’am, ayat 108)

Pandangan sesetengah pihak yang melabel Islam sebagai agama keganasan adalah satu tohmahan.

Percubaan mengaitkan Islam dengan keganasan perlu disanggah kerana ia satu fitnah bertujuan memburukkan imej Islam dan umatnya.

Sejarah membuktikan Rasulullah SAW menerima tentangan hebat ketika berada di Makkah pada awal penyebaran dakwah Islam.

Baginda SAW tidak pernah menggunakan kekerasan hatta untuk mem-
pertahankan dirinya. Semuanya dilalui dengan penuh kesabaran meskipun nyawa Baginda dan umat Islam pada ketika itu menjadi taruhan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan bersabarlah terhadap apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu wahai Muhammad) dan jauhkanlah dirimu daripada mereka dengan cara yang baik.” (Surah al-Muzzammil, ayat 10)

Kejadian membabitkan nasib sekumpulan jemaah Masjid Al Noor di Christchurch, New Zealand baru-baru ini amat menyayat hati.

Peristiwa mengejutkan seluruh dunia itu membuktikan bukannya Islam memusuhi orang lain, sebaliknya umat Islam menjadi mangsa keganasan yang tidak berperikemanusiaan.

Ketika umat Islam sedang berada dalam masjid untuk menunaikan ibadat, mereka dizalimi tanpa belas kasihan.

Seluruh umat Islam berasa hiba atas tragedi yang berlaku. Dunia menjadi saksi kekejaman yang dilakukan terhadap umat Islam itu.

Saksikan pula bagaimana kekejaman dilakukan terhadap umat Islam di Gaza. Mereka sudah lama menderita akibat kekejaman di bumi mereka sendiri.

Tidakkah dunia menyaksikan bagaimana umat Islam terus dizalimi tanpa kesudahan? Semua itu menyangkal tohmahan mengaitkan Islam dengan keganasan, sebaliknya Islam sentiasa menjadi mangsa keganasan orang lain.

Setiap tindakan umat Islam tidak lain hanya bagi mempertahankan diri dan tanah air mereka daripada terus dizalimi.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Oleh itu, orang (yang beriman) yang mengutamakan kebahagiaan akhirat daripada (kesenangan) kehidupan dunia, hendaklah mereka berperang pada jalan Allah (untuk membela Islam). Dan sesiapa yang berperang pada jalan Allah lalu ia mati (gugur syahid) atau beroleh kemenangan, maka Kami akan memberi kepadanya pahala yang besar.” (Surah an-Nisa’, ayat 74)

Islam adalah agama yang mementingkan keharmonian sesama insan. Ajaran Islam menekankan hubungan baik bukan sahaja dengan saudara seagama, malah kepada orang bukan Islam.

Perkataan ‘Islam’ membawa makna penyerahan diri kepada Allah SWT. Justeru, setiap umat Islam perlu akur setiap perkara perlu berlandaskan ketetapan daripada Allah SWT.

Jika ada umat Islam bertindak menyalahi ketetapan Allah SWT, dia tidak lagi menyerahkan dirinya kepada Allah dan ketetapanNya.

Muslim yang baik sentiasa menjunjung ajaran Islam dan tidak pernah bertindak melainkan semuanya adalah tindakan yang baik.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Bertakwalah kepada Allah SWT di mana sahaja kamu berada dan balaslah keburukan dengan kebaikan dan berakhlak dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (Hadis riwayat al-Tirmidzi)

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 8:50 AM