NUR NADIRA peluk agama suci selepas tertarik dengan pelbagai kebaikan dalam ajaran Islam.
NUR NADIRA peluk agama suci selepas tertarik dengan pelbagai kebaikan dalam ajaran Islam.
Yusliza Yakimir Abd Talib


HIDAYAH boleh hadir dalam diri sesiapa saja dengan kehendak Allah dan wanita kelahiran Osaka, Jepun ini antara insan ‘terpilih’ menerimanya. Dia cukup bertuah apabila pengislamannya berlangsung dengan cukup mudah dan mengharukan.

Keputusan memilih Islam pada Februari lalu seakan-akan ‘menghidupkan’ kembali dirinya yang selama ini masih tercari-cari arah dalam kehidupannya.

Wanita ini mengakui teladan baik kenalan Muslim yang dilihatnya setiap hari membuatkan dirinya tertanya-tanya adakah ini ajaran yang dibawa dalam agama yang dianuti mereka.

Entah mengapa, Chiharu Nur Nadira tidak pernah sekali pun membenci mahupun menganggap Islam menakutkan meskipun berita tidak benar atau cerita buruk mengenai agama itu tersebar luas di media massa.

Pada kala merebaknya stigma negatif dalam kalangan warga Jepun terhadap Islam, perkara sebaliknya berlaku pada Nur Nadira. Dia tidak terkesan dengan dakyah yang cuba memburukkan Islam. Ini kerana dia terlebih dulu mengenali seorang rakan lelaki Muslim dari Indonesia yang sudah menetap di Jepun selama 10 tahun dan sentiasa menunjukkan sifat terpuji sebagai orang Islam.

“April tahun lalu, saya berkenalan dengan seorang lelaki Islam yang turut menunjukkan rasa hormat terhadap saya sebagai wanita dan tidak pernah mengambil kesempatan, baik hati dan ikhlas.

“Sebelum ini, kebanyakan lelaki bangsa sendiri melihat saya sebagai subjek seksual dan selalu mengambil peluang untuk cuba menyentuh saya. Perkara itu benar-benar membuatkan saya rasa tidak selesa dengan budaya sendiri. Namun lelaki yang saya kenali ini tidak pernah berbuat demikian dan saya tahu mereka ini orang Islam.

“Hati saya terpanggil untuk memahami cara hidupnya dan rakan Muslim saya yang lain. Dari situlah saya sering ke masjid dan mula mendalami Islam.

“Semakin lama, saya semakin tertarik kepada Islam. Jadi saya baca banyak buku berkaitan Islam dan ke masjid. Komuniti Islam di sini sangat baik dan ia sama sekali berbeza daripada imej menakutkan yang dilihat di televisyen atau klip video di Internet.

“Islam penuh dengan kasih sayang dan mengajar cara untuk orang ramai hidup sebagai manusia sebenar,” katanya.

Nur Nadira yang pernah bergelar pensyarah dan instruktor pengurusan dan penjenamaan di sekitar Jepun ini juga mengakui Islam banyak mengubah hidupnya malah paling menggembirakan apabila kini dirinya begitu tenang berbanding dulu.

Ibu kepada dua cahaya mata ini juga mengakui larangan meminum alkohol dalam Islam terhadap umatnya antara faktor dia begitu tertarik dengan agama ini.

Ini kerana, katanya, dia berdepan pengalaman buruk kerana sering menjadi mangsa keganasan sejak zaman kanak-kanak oleh ayahnya kerana alkohol.

“Apabila mabuk, ayah selalu bertindak ganas yang menyebabkan saya sering rasa tertekan. Perkara itulah juga yang menyebabkan saya tidak suka alkohol. Namun, seiring peningkatan usia, saya terpaksa bekerja di persekitaran yang ada minuman keras. Saya sangat membenci minuman keras kerana sering menerima gangguan seksual oleh orang yang mabuk termasuk rakan sekerja.

MENGAKUI dirinya sentiasa tenang dan gembira selepas memeluk Islam.
MENGAKUI dirinya sentiasa tenang dan gembira selepas memeluk Islam.

“Seorang rakan memberitahu alkohol sangat buruk kesannya pada tubuh dan minda malah menurutnya, apabila saya minum sake, hati menjadi keras, hitam dan cahaya tidak akan memasuki hati.

“Saya mendengar nasihatnya dan berhenti mengambil sake selama lima bulan sebelum memeluk Islam kerana menyedari keburukannya terhadap kesihatan.

“Selepas mengenali agama ini, barulah saya benar-benar faham mengapa Islam melarang minuman keras dan ambil keputusan menghentikan terus pengambilannya,” katanya.

Nur Nadira berkata, dia bersyukur sentiasa dikurniakan rakan sentiasa bersedia membantu dan sanggup meluangkan masa mendidiknya menjadi Muslim yang baik.

Dia kini dalam usaha mendalami bacaan al-Quran dengan menyertai kelas mengaji di masjid berdekatan. Walaupun masih ‘merangkak-rangkak’, dia gembira dapat membaca kalam Allah yang terkandung dalam kitab agung al-Quran.

Penulis tersenyum mendengar kisah wanita bertubuh kecil ini yang belajar menutup aurat seperti wanita Muslim sebelum memeluk Islam. Dia belajar memakai tudung dan menutup mahkota yang menjadi kebanggaan wanita itu.

Hampir setengah tahun mengucap dua kalimah syahadat, Nur Nadira mengakui banyak perubahan yang berlaku dalam hidupnya termasuklah dia mula menjaga kebajikan kedua-dua orang tuanya berbanding sebelum ini.

Sejak itu, Nur Nadira semakin menghargai setiap hari yang dikurniakan kepadanya. Tidak putus dia mengucapkan rasa syukur dengan kehidupannya kini sebagai wanita Muslim dan lebih menggembirakan, banyak sikap buruknya sebelum ini berjaya diubah perlahan-lahan.

“Kini saya jarang berasa cepat marah dan tidak lagi membazir dengan membeli barangan mewah atau mahal yang tidak diperlukan. Saya kini lebih menghargai nilai wang dan berfikir dulu sebelum berbelanja. Tiada lagi pembelian seperti dahulu.

“Jika anda seorang Muslim, mungkin perkara ini (tidak membazir) adalah perkara biasa, tetapi bagi kebanyakan orang Jepun seperti saya, ia bukanlah satu kebiasaan. Jadi, saya bersyukur kerana berjaya mengubah diri dan mengamalkan cara hidup sebenar sebagai Muslim.

“Kebanyakan Muslim mempunyai hati yang amat baik dan menghargai semua aspek kehidupan. Sifat ini saya rasakan tidak terdapat di dalam kehidupan orang Jepun moden,” katanya.

Nur Nadira juga tidak berselindung untuk menunjukkan kegembiraannya menjadi seorang Muslim, bahkan dia tidak kekok mengenakan tudung dan berpakaian menutup aurat sebaik mungkin sejak hari pertama bergelar saudara baharu.

Katanya, harapannya kini agar dapat menyebarkan syiar Islam di negara matahari terbit itu dan menjadi Muslim yang lebih baik setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Ogos 2019 @ 6:01 AM