NOOR Miza (dua dari kanan) bersama model yang memperagakan koleksi kapsulnya.
NOOR Miza (dua dari kanan) bersama model yang memperagakan koleksi kapsulnya.
Hafiz Ithnin


BAGI pereka fesyen muda berusia 24 tahun berasal dari Kedah ini, mengangkat inspirasi dari sebuah karya tiga dimensi (3D) iaitu 'Two for One Steampunk Canvases' dari pengkarya Vicky Hensley iaitu terdiri daripada dua kanvas yang menghasilkan satu karya sememangnya memberi kesan menarik kepada koleksi kapsulnya.

Noor Miza Aqilah Muzamil berkata, karya fesyen itu mempunyai seni himpunan 3D dengan latar belakang yang terdiri daripada pelbagai lapisan dan semburan cat dengan reka bentuk tekstur menunjukkan elemen 'steampunk.'

Jelasnya, keunikan karya itu menarik minatnya untuk mengkaji mengenai fesyen 'steampunk.' Ia satu elemen yang unik kerana ia adalah gabungan elemen futuristik dan retro.

"Gaya ini menggabungkan unsur fiksyen sains, estetika dan teknologi dari abad ke-19. Karya sastera dan multimedianya berlatarkan alam semesta selari di mana enjin wap dan bukannya elektrik adalah sumber utama kemajuan teknologi dalam era 'steampunk.'

"Secara umum, fesyen 'steampunk' adalah gabungan era Victoria dan perindustrian. Estetika 'steampunk' tradisional menekankan kemahiran pereka dalam menggabungkan konsep Victoria dan industri," katanya.

Tambahnya, selalunya pakaian 'steampunk' menggabungkan gaya unik dan tidak konvensional dengan pelbagai warna serta corak. Penggayaan pakaian 'steampunk' mungkin sama ada mencerminkan naratif atau menekankan keasliannya.

"Fesyen dan pakaian 'steampunk' sering dibuat supaya kelihatan seperti mereka akan muncul dalam masa 'romantik' gaya pra-Victoria. Zaman Victoria adalah puncak imaginasi manusia apabila misteri, sains dan unsur-unsur fantastik dimonopoli.

ANTARA koleksi kapsul yang mengangkat inspirasi Two For One Steampunk Canvases.
ANTARA koleksi kapsul yang mengangkat inspirasi Two For One Steampunk Canvases.

"Saya mengambil masa lebih kurang lima bulan untuk menghasilkan karya fesyen kapsul ini dengan melalui pelbagai langkah. Bermula dengan pencarian tema, konsep dan kategori pakaian yang ingin dihasilkan. Kemudian saya akan membuat lakaran rekaan dan kembangkan idea daripada lakaran itu untuk mendapatkan rekaan yang baharu," katanya.

Jelasnya, sepanjang proses pembangunan idea untuk koleksi kapsul itu, dia melakar sebanyak 160 lebih lakaran. Setiap lakaran akan dinilai dan ditambah baik sehingga mendapat rekaan akhir.

"Kemudian selepas lakaran rekaan akhir dipilih, bermulalah penghasilan sampel dan eksperimental pola dalam rekaan ini saya menggunakan dua cara iaitu 'eksperiment' pola dan 'draping' pada 'dummy' untuk mendapatkan pola korset.

"Pencarian material fabrik yang sesuai dan eksperimental untuk bahagian perincian seperti 'gathers' pada skirt, korset dan penggunaan fabrik 'lace," katanya.

FABRIK kulit yang menjadi sebuah busana elegan dan kewanitaan.
FABRIK kulit yang menjadi sebuah busana elegan dan kewanitaan.

Tambahnya, penggunaan fabrik kulit sangat mencabar kerana fabrik itu meninggalkan kesan setelah dijahit, maka proses yang sama akan berulang iatu bermula dari pemotongan fabrik yang baharu.

"Disebabkan itu setiap kali saya menjahit fabrik ini perlu berhati-hati bagi tidak ada pembaziran. Selain itu, perincian 'lacing' yang ada pada rekaan seperti 'eyelet' dilakukan sendiri secara manual.

"Disebabkan fabrik kulit ini tebal, maka percubaan untuk mewujudkan kesan 'gathers' agak sukar pada bahagian skirt," katanya.

Jelasnya, segmen fesyen 'Art to wear' adalah kategori yang diangkat dengan rujukan dari busana era Victoria dan gabungan 'steampunk.'

"Saya menumpukan rekaan ini dengan gabungan 'steampunk' dan era Victorian yang dapat memberikan aura menonjol dan elegan. Rekaan ini, akan menarik perhatian umum yang meminati fantasi ala era Victoria," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 6:30 AM