NUR Afiah (dua dari kiri) membuat kajian hampir dua bulan untuk mencipta karya fesyen miliknya.
NUR Afiah (dua dari kiri) membuat kajian hampir dua bulan untuk mencipta karya fesyen miliknya.
Hafiz Ithnin

KARYA gadis berusia 22 tahun ini bertujuan menonjolkan seni rekaan pakaian yang begitu unik selain mengangkat sains dan organ sebagai inspirasi utamanya.

Dek gabungan itu, koleksi kapsul berkenaan berjaya mencuri perhatian juri sehingga dinobatkan sebagai penerima Gold Awards untuk Degree Fashion Show 2023, baru-baru ini.

Pereka fesyen muda, Nur Afiah Balqis Muhamad Zaide berkata, ketika mendapat tugasan untuk menyiapkan koleksi kapsul itu dia melihat otak manusia mempunyai 'rupa' yang unik untuk diterjemahkan di dalam rekaannya.

Jelasnya, bersandarkan latar belakang pendidikan sebelum ini di dalam bidang sains, dia melihat gabungan seni dan sains sememangnya dapat menterjemahkan sebuah karya yang menarik serta mempunyai maksud tersendiri.

"Jadi, saya mengambil inspirasi otak itu dan 'mengecilkannya' lagi kepada elemen bermimpi dalam keadaan terjaga yang sebenarnya menceritakan mengenai otak kita masih bekerja walaupun dalam kita tidur.

"Saya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk menyiapkan karya ini termasuk membuat kajian terperinci mengenai idea yang ingin dimasukkan ke dalam rekaan kapsul ini," katanya.

Jelasnya lagi, mimpi ialah urutan gambar, idea, emosi dan pengalaman yang berlaku secara sukarela dalam fikiran semasa pelbagai fasa tidur.

MEMASTIKAN rekaannya seiring dengan inspirasi yang cuba diangkat.
MEMASTIKAN rekaannya seiring dengan inspirasi yang cuba diangkat.

"Selalunya, ketika bermimpi, kita tidak menyedari bahawa itu hanya mimpi. Kebanyakan mimpi berlaku ketika pergerakan mata pantas (REM) tempoh tidur, apabila otak menjadi aktif dan serupa dengan keadaan ketika kita terjaga.

"Manakala, mimpi sedar pula ialah situasi jarang berlaku di mana seseorang itu menyedari bahawa dia bermimpi dan memperoleh kemampuan untuk membuat keputusan dan mempengaruhi hasil mimpinya tanpa bangun daripada tidur," katanya.

Tambahnya, apabila seseorang mengalami mimpi sedar, mereka masih tidur secara fizikal tetapi menjadi sedar ketika mereka terbabit dalam kehidupan di dunia mimpi.

Keadaan itu turut membolehkan anda yang bermimpi untuk mengakses situasi dan pengalaman dari dunia realiti.

"Mungkin ramai tidak tahu bahawa seseorang yang mampu untuk melakukan mimpi sedar secara sengaja. Ia mampu merawat mimpi buruk, meningkatkan daya kebolehan motorik dan meningkatkan kreativiti.

"Namun, ia perlu dilakukan mengikut kaedah betul mengikut kajian, supaya tidak mengalami kesan negatif pasca mimpi sedar," katanya.

Bercerita lanjut mengenai koleksi kapsul itu, dia menamakannya sebagai The Brain Groove iaitu menumpukan kepada aktiviti salah satu organ yang paling penting dalam tubuh manusia, otak iaitu ketika mimpi sedar.

BERMAIN tekstur dalam busana untuk mewujudkan bentuk otak.
BERMAIN tekstur dalam busana untuk mewujudkan bentuk otak.

"Selain untuk memberi kesedaran awam berkaitan mimpi sedar, matlamat utama saya adalah untuk menghasilkan koleksi yang menggabungkan dua latar belakang pembelajaran saya, iaitu aspek seni dan sains.

"Perspektif ramai bahawa aliran sains lebih baik daripada aliran seni wajarlah diubah kerana aliran pelajaran bukanlah kayu pengukur kejayaan seseorang itu.

"Sebaliknya, membabitkan kebolehan dan usaha seseorang itu untuk berjaya dalam bidang yang diceburinya," katanya.

Katanya, selaras dengan tema 'wearable art,' bentuk bebayang ketiga-tiga busana itu adalah bercirikan besar dan dramatik.

"Koleksi akhir saya memperlihatkan warna hitam dan kelabu sebagai warna utama, selain merah, jingga dan kuning pada bahagian tertentu yang ditambah dengan semburan cat sebagai sentuhan terakhir.

"Dapat dilihat juga, aktiviti otak ketika mimpi sedar itu ditelapkan lagi ke dalam rekaan akhir melalui perincian yang diambil secara langsung daripada subjek inspirasi," katanya.

Tambahnya, menggunakan teknik kedutan secara rawak, 'ruching' untuk mendapatkan kesan tekstur tiga dimensi (3D) organ otak dan 'cording nylon' timbul yang diinterpretasikan daripada simplifikasi garisan otak.

"Salah satu cabaran terbesar yang dihadapi dalam proses menyiapkan koleksi ini ialah bilangan masa yang digunakan ketika proses menjahit kemasan ruching secara manual, jahitan tangan.

"Selepas menyiapkan 'base garment,' kemasan itu perlu dipenitikan posisinya lalu dijahit sembat satu persatu ke atas asasnya.

"Selain itu, proses menjahit asas fabrik juga sedikit mencabar kerana kain material agak berat dan tebal, serta bebayang yang besar, menyukarkan pergerakan kain di bawah tapak mesin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Oktober 2023 @ 6:30 AM