Lizam Ridzuan

Harga dibayarnya sangat tinggi termasuk pernah cedera di lutut dan perlu jalani pembedahan serta memaksanya berehat dua tahun sepanjang berada dalam Pasukan Akrobatik Motosikal Tentera Darat (Army Red Warrior) namun itu semua tidak mematahkan semangatnya.

Staf Sarjan Saidatul Husna Kamaruddin, 35, dari Kor Polis Tentera Diraja (KPTD) adalah individu yang memukau rakyat Malaysia dengan aksi lompatan melepasi 66 penunggang motosikal Royal Enfield ketika Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 yang lalu di Putrajaya.

Itu lompatan pertamanya membabitkan orang dan motosikal kerana sebelum ini hanya dilakukan dengan meletak kereta di bawahnya sahaja.

Sejak itu beliau semakin dikenali kerana keberaniannya sebagai penunggang wanita yang berupaya melakukan aksi sebegitu. Ia antara momen menarik dalam acara Hari Kebangsaan tahun ini untuk dikenang.

"Ketika hari kejadian, auranya sangat berbeza dan meskipun saya pernah melakukan banyak kali lompatan namun pada Hari Kebangsaan itu acara terbesar pernah kami sertai.

"Namun saya kekal fokus pada pelantar lompatan dan dengan sokongan rakan sepasukan akhirnya berjaya melakukan aksi itu selain paling manis ia disaksikan Yang di-Pertuan Agong," katanya yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

SENTIASA menjalani latihan untuk memantapkan kemahiran.
SENTIASA menjalani latihan untuk memantapkan kemahiran.

Meskipun begitu, perasaan gementar tetap ada setiap kali ingin melakukan lompatan dan Saidatul Husna akan berdoa sebelum bermula supaya semuanya berjalan lancar selain tidak melihat keadaan persekitaran terutama orang ramai bagi mengelak hilang fokus.

Bagi persembahan pada Hari Kebangsaan itu dia mengambil masa lebih dua minggu menjalani latihan intensif di Pusat Latihan KPTD dan Kem Wardieburn, Kuala Lumpur.

Motosikal digunakan daripada model scrambler jenama Kawasaki dan ia jentera yang sama sahaja digunakan bagi mengekalkan keserasian.

"Buat masa ini hanya saya penunggang wanita dalam ARW kerana seorang lagi terbabit dengan misi Malaysia Batalion (MALBATT) di luar negara dan pulang ke tanah air hujung tahun ini.

BERSAMA ahli pasukan ARW.
BERSAMA ahli pasukan ARW.

"Ada lagi dua anggota wanita dalam pasukan, tetapi lebih kepada pengurusan dan tidak terbabit sebagai pelagak ngeri," katanya.

Untuk menjadikannya seperti hari ini, ia memerlukan latihan asas utama iaitu dengan belajar menunggang motosikal 'carrier' digunakan dalam acara tatu untuk kawalan dan keseimbangan lebih baik serta selepas mahir, latihan lompatan untuk aksi lagak ngeri dengan pelbagai jarak perlu dilalui.

Katanya kekuatan fizikal dan mental serta berkeyakinan tinggi amat perlu bagi melakukan aksi itu kerana badan akan merasa sakit selepas menjalani latihan selama empat jam setiap hari serta perlu kekal semangat dan konsisten dengan prestasi.

"Selepas berjaya melakukan setiap persembahan saya rasa lega dan bersyukur kerana selamat ke atas diri dan orang di sekeliling serta Alhamdulillah setakat ini semuanya dilaksanakan dengan baik," katanya.

Apapun yang dilakukannya bertujuan menghiburkan penonton dan kepada wanita atau sesiapa sahaja ingin melakukan aksi lagak ngeri pesannya, teruskan minat itu dengan melakukan di tempat yang ditetapkan dan bukan di atas jalan raya.

Dia juga bersyukur mendapat sokongan ahli keluarga termasuk suami.

MELUANGKAN masa bersama keluarga.
MELUANGKAN masa bersama keluarga.

Tambahnya sebelum melakukan sesuatu perkara, ilmu adalah penting dan perlu belajar daripada jurulatih yang berpengalaman untuk meningkatkan kemahiran diri.

"Selain itu dengan menyertai program sebegitu kita berpeluang menambah kenalan dan rakan baharu dalam minat yang sama.

"Pakaian juga perlu sesuai kerana keselamatan perkara paling diutamakan dan memakai alatan perlindungan diri tambahan dapat membantu mengurangkan impak pada badan jika berlaku perkara yang tidak diingini," katanya.

Menyentuh perancangan masa hadapannya, dia mahu memberi fokus yang lebih kepada kerjaya dan keluarga, selain mengekalkan kemahiran dan kecergasan supaya kemahiran menunggang dengan aksi lagak ngeri tidak hilang.

"Buat masa ini tiada perancangan khusus untuk tempoh jangka masa panjang berkenaan aktiviti ini dan hanya mengikuti program ditetapkan pasukan.

"Tahun ini sibuk buat saya dan selepas ini ingin luangkan lebih banyak masa bersama keluarga terutama suami dan anak," katanya.

Saidatul Husna berharap pihak berwajib dapat mewujudkan akademi latihan lagak ngeri di Malaysia bagi menambah kemahiran lompatan lain yang lebih mencabar serta mewujudkan pelapis dan bakat baharu.

Menyentuh perjalanan kariernya sebagai anggota tentera, ia bermula selepas menamatkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Petani pada 2006.

SAIDATUL Husna sudah 15 tahun dalam ATM.
SAIDATUL Husna sudah 15 tahun dalam ATM.

Tahun 2008 pada usia 19 tahun beliau diterima masuk sebagai Anggota Tentera Malaysia (ATM) dan memulakan latihan di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) Port Dickson.

Selepas enam bulan menjalani rekrut, Saidatul Husna diserap ke dalam Kor Polis Tentera Diraja dan unit pertamanya di 102 Kompeni KPTD di Kem Terendak Melaka.

Pada 2011 beliau menyertai ARW sehingga kini yang terdiri daripada satu pegawai dan 38 anggota lain-lain pangkat. Ketika di sekolah, Saidatul Husna aktif dengan aktiviti badan beruniform dan itu adalah faktor utamanya mendorong untuk menyertai bidang ketenteraan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 September 2023 @ 7:00 AM