Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Kali pertama dianjurkan pada 2003, Putrajaya yang sekali lagi menjadi hos sambutan Hari Kebangsaan 2023 kembali diwarnai keceriaan dan kibaran Jalur Gemilang lebih 100,000 pengunjung di Dataran Putrajaya.

Sambutan tahun ini juga menyaksikan pembabitan lebih 17,000 peserta serta 67 kontinjen persembahan dan perarakan 505 aset darat serta udara daripada pelbagai agensi di Dataran Putrajaya, selepas kali terakhir dianjurkan pada 2019.

Acara hari ini bermula dengan ketibaan pembesar negara, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sekitar jam 7.45 pagi.

Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sekitar jam 8 pagi.

Lagu Negaraku kemudian berkumandang, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang, diiringi Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Ia disusuli lintasan hormat lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam melambangkan 14 negeri dalam Malaysia.

Baginda kemudiannya berkenan memeriksa kawalan kehormatan utama.

Acara diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara oleh pembesar negara dan hadirin, diketuai pemenang pingat emas Kejohanan Asian Bowls 2023 yang juga pelajar Akademi Kecergasan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Muhammad Haikal Roslan.

Hadirin kemudian dipersembahkan dengan persembahan khas lagu tema Hari Kebangsaan bertajuk 'Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' yang didendangkan hadirin bersama barisan artis tanah air berserta persembahan formasi oleh peserta dari Kementerian Pendidikan (KPM).

Dalam perarakan kali ini, seramai 100 anggota dan pegawai dari Akademi Latihan Ketenteraan UPNM dipertanggungjawab membawa Jalur Gemilang gergasi.

Antara keunikan dalam perbarisan tahun ini adalah perarakan Kontinjen Perpaduan Malaysia Madani terdiri daripada suku kaum etnik Sabah, Sarawak dan Semenanjung membabitkan kira-kira 400 peserta.

Perarakan kontinjen pembawa Jalur Gemilang. FOTO BERNAMA
Perarakan kontinjen pembawa Jalur Gemilang. FOTO BERNAMA

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 turut mempamerkan persembahan bertemakan perpaduan dan kesejahteraan dengan olahan baharu lagu 'Kurik Kundi' oleh barisan artis tempatan seperti Nadeera Zaini, Hazraniza Dollah, Suki Low, Zizi Kirana dan Roshini Balachandran.

Pengunjung juga dipukau dengan persembahan khas aksi lagak ngeri oleh anggota dan pegawai Tentera Darat Malaysia (TDM) menerusi segmen kedua 'Daya Upaya dan Kecekapan'.

Persembahan lagak ngeri itu dibawakan khas oleh Army Red Warrior TDM yang melakukan beberapa aksi akrobatik sambil menunggang motosikal berkuasa tinggi yang semestinya memukau pengunjung.

Lebih mendebarkan ialah aksi lompatan sambil menunggang motosikal melintasi lebih 50 motosikal berkuasa tinggi dan persembahan itu bakal mencuri tumpuan terutama kepada peminat lagak ngeri ala 'Daredevil'.

Selain itu, aksi terjunan tepat payung terjun oleh VAT 69 Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menarik perhatian pengunjung yang hadir.

Turut menarik perhatian adalah perarakan aset keselamatan dan pertahanan negara, antaranya oleh pasukan bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), PDRM serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Antara yang mencuri tumpuan termasuklah beberapa aset ATM seperti kereta perisai dan beberapa kenderaan pertahanan lain.

Acara dinanti-nantikan hadirin pastinya pertunjukan udara oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antaranya dibarisi enam pesawat pejuang Sukhoi SU 30 MKM yng diterbangkan dengan kelajuan 500 kilometer sejam, selain tiga pesawat F-18D Hornet dan empat BAE Hawk.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Ogos 2023 @ 10:34 AM