ALIA Husna si gadis bertubuh kecil miliki kemahiran, bakat luar biasa dalam sukan hoki ais.
ALIA Husna si gadis bertubuh kecil miliki kemahiran, bakat luar biasa dalam sukan hoki ais.
Muhamaad Razis Ismail


Hoki ais cukup terkenal antara sukan berpasukan agresif yang memerlukan fizikal dan stamina tinggi.

Jadi, bukan calang-calang individu yang mampu untuk terbabit secara aktif dalam sukan terbabit.

Sekali pandang, siapa sangka gadis yang bertubuh kecil ini adalah atlet hoki ais wanita negara.

Biarpun begitu, sebaik melihat ketangkasannya meluncur sambil mengendalikan 'puck' di gelanggang ais, tidak dinafikan Alia Husna Mohd Hanafi, 28, memiliki kemahiran dan bakat luar biasa dalam sukan hoki ais.

Antara pencapaian yang berjaya diraih sejak enam tahun lalu termasuk memenangi tempat pertama dalam Piala Cabaran Wanita Hoki Ais IIHF 2018 Asia Divisyen 1 dan menyertai Piala Cabaran Wanita Hoki Ais Asia di Abu Dhabi.

Malah anak bongsu daripada tiga beradik ini pernah menerima pingat pemain terbaik dalam satu perlawanan yang disertai.

Alia Husna berkata, dia mula bermain luncur ais untuk mengisi lapang selepas ibunya menghadiahkan sepasang kasut hoki ais.

Katanya, sejak itu dia aktif melakukan aktiviti itu pada hampir setiap bulan di Sunway Pyramid dan Icescape IOI Putrajaya.

"Pada ketika itu pengetahuan terhadap hoki ais amat kurang sebelum saya menyertai program 'World Girls' Ice Hockey Weekend 2017' di Stadium Luncur Ais Kebangsaan Malaysia (MYNISS) secara suka-suka.

HOKI ais memerlukan kekuatan fizikal dan stamina yang tinggi.
HOKI ais memerlukan kekuatan fizikal dan stamina yang tinggi.

"Tanpa disangka saya memenangi pertandingan itu dan dapat menyertai lima sesi latihan hoki ais secara percuma.

"Pada ketika itu, bekas jurulatih, Nikolas Sepponen dari Finland, mengajak saya menyertai latihan pasukan kebangsaaan. Sejak itu, saya mula jatuh cinta terhadap sukan ini," katanya.

Menurutnya, walaupun hoki ais kurang terkenal di negara ini, namun sukan berkenaan mempunyai keunikan tersendiri.

"Sebaik berada dalam gelanggang, adrenalina secara tiba-tiba meningkat mendadak. Pada masa sama, sukan hoki ais mengajar saya untuk meningkatkan daya tahan diri, menjaga disiplin dan kerja berpasukan.

"Bagi saya, hoki ais lebih menonjol berbanding sukan lain kerana menggabungkan kekuatan fizikal, kemahiran dan strategi dalam satu-satu masa," katanya.

KETANGKASAN ketika meluncur memberi kelebihan kepada Alia Husna.
KETANGKASAN ketika meluncur memberi kelebihan kepada Alia Husna.

Mengulas lanjut, sebagai pemain, adalah satu kemestian menguasai kemahiran meluncur sambil mengendalikan 'puck.'

"Pada masa sama, pemain perlu membuat keputusan pantas dan sentiasa bersedia dengan pelbagai formasi menyerang serta bertahan yang memerlukan keseimbangan dan ketangkasan luar biasa.

"Bagi saya biarpun agak memenatkan, ia sangat menyeronokkan dan menarik bagi individu yang sukakan cabaran dan kelainan," katanya.

Alia Husna bersyukur, ibu bapanya sentiasa memberi sokongan dan dorongan untuk terus bergiat dalam sukan hoki ais secara serius.

"Sejak daripada awal, ibu bapa tidak pernah menghalang saya terbabit dalam sukan ini. Malah mereka turut membantu menyediakan sumber kewangan untuk membeli peralatan dan latihan.

"Setiap kali pertandingan, ibu bapa saya berusaha untuk hadir memberikan sokongan. Saya bersyukur kerana mereka bukan sahaja memahami minat saya, malah secara aktif menggalakkan saya meneruskannya.

BERJAYA mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
BERJAYA mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

"Sokongan mereka memainkan peranan penting dalam membentuk perjalanan saya dalam sukan hoki ais," katanya.

Tambahnya, bagi wanita yang ingin menceburi sukan ini, dinasihatkan supaya mempunyai minat yang mendalam terhadap hoki ais.

"Biar apa pun tanggapan dan persepsi yang diberikan masyarakat, jangan biarkan ia menjadi penghalang mengejar impian.

"Sentiasa cari peluang belajar dan mengembangkan kemahiran sama ada dengan menyertai kelab, program latihan atau belajar di internet. Anda mesti kekal berdedikasi dengan latihan, sentiasa cekal menghadapi cabaran dan jangan sekali-kali memandang rendah terhadap potensi diri," katanya.

Ditanya berkenaan perancangan masa hadapannya, Alia Husna ingin terus mengembangkan bakatnya dalam sukan hoki ais dengan menyertai pelbagai kejohanan berprestij seperti Kejohanan Dunia IIHF dan Sukan SEA 2025.

ALIA Husna ingin terus memberi impak positif kepada pertumbuhan dan kejayaan hoki ais di Malaysia.
ALIA Husna ingin terus memberi impak positif kepada pertumbuhan dan kejayaan hoki ais di Malaysia.

"Saya berazam mendedikasikan diri sepenuhnya kepada latihan, menyertai sesi gimnasium, mengasah kemahiran dan menolak had saya untuk mendapat tempat dalam pasukan serta menyumbang kepada kejayaannya.

"Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk promosi dan pembangunan hoki ais wanita di Malaysia, memberi sokongan dan sumber yang lebih besar untuk atlet wanita. Saya berazam menjadi salah seorang pemain hoki terbaik di Malaysia.

"Secara keseluruhannya, matlamat saya adalah untuk memberi impak positif kepada pertumbuhan dan kejayaan hoki ais di Malaysia sambil berusaha mencapai kecemerlangan dan kepuasan peribadi dalam sukan yang paling saya gemari," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 6:20 AM