MATERIAL serat semula jadi lebih sesuai dipakai ketika cuaca panas.
MATERIAL serat semula jadi lebih sesuai dipakai ketika cuaca panas.
Nurul Husna Mahmud


DI Eropah, fesyen sangat pantas berkembang kerana dipengaruhi empat musim. Bermakna setiap musim iaitu musim bunga, luruh, salji dan panas memberi kesan kepada rekaan pakaian yang dihasil pereka barat.

Di Malaysia pemilihan pakaian baik rekaan atau gaya seharian selalunya dinilai berdasarkan persekitaran dan cuaca tempatan.

Hal itu diakui Pensyarah Kanan Rekaan Fesyen, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Prinses Saliang melihat fenomena cuaca panas yang dijangka berlarutan sehingga Ogos depan turut memberi kesan terhadap pemilihan pakaian digayakan individu setiap hari.

"Pakaian direka untuk melindungi badan manusia dari faktor luaran termasuk cuaca dan alam sekitar.

"Boleh dilihat di negara empat musim, penggunaan material, warna dan padanan gaya ketara berbeza mengikut musim.

"Pergerakan fesyen di negara empat musim juga menjadi penanda aras kepada trend fesyen seluruh dunia, termasuk negara tropika.

"Namun, dengan perubahan iklim global dan pemanasan dunia, pereka lebih sensitif dengan isu kelestarian dan rekaan yang mementingkan fungsi selain dari nilai estetika.

"Lebih ideal ketika ini adalah apabila pereka mengambil peranan mengetengahkan rekaan yang bersifat lestari supaya relevan dengan keperluan pemakaian," katanya.

WARNA terang mengurangkan haba.
WARNA terang mengurangkan haba.

Tambah Prinses, pemilihan pakaian seharusnya lebih relevan dengan perubahan cuaca semakin ekstrem yang mana menyumbang kepada kes serangan strok haba.

"Kebiasaan kita berpakaian mengikut majlis, kod pakaian atau bergantung kepada tempat yang dituju. Untuk aliran fesyen Malaysia secara amnya masyarakat meraikan pakaian bertemakan keraian dan tidak berapa menekankan cuaca.

"Itu diambil peluang jenama antarabangsa yang cenderung memaparkan produk inovatif dengan penggunaan material terkini yang mana menekankan keselesaan dalam sebarang perubahan cuaca.

"Potongan rekaan pakaian dipengaruhi cuaca juga bersifat universal dan bercirikan androgini (perwatakan lelaki atau perempuan) atau uniseks yang mana penerimaan baik dalam kalangan generasi Millenial dan Y.

"Namun, penerimaan terhadap rekaan bercirikan universal masih rendah berbanding rekaan pakaian bercirikan identiti tempatan," katanya.

Untuk kategori pakaian harian kata pakar itu, si pemakai perlu mengambil kira keadaan tempat dan norma pekerjaan individu.

"Dalam cuaca panas, jika individu mengenakan pakaian daripada material tebal atau sintetik, itu boleh diterima andai dalam bangunan yang ada kemudahan penyaman udara.

POTONGAN longgar membantu aliran udara.
POTONGAN longgar membantu aliran udara.

"Lain ceritanya jika bekerja di luar pejabat atau kawasan terbuka. Sebaik-baiknya mengenakan pakaian yang dibuat dari material yang tidak menghalang penyejatan peluh. Ini termasuk penggunaan tudung dan aksesori fesyen lain," katanya.

Sementara itu, pereka Farrarahim Atelier, Farahiyah Abd Rahim berkata, tidak hanya fabrik pemilihan warna penting ketika memilih baju dalam cuaca panas.

"Pemilihan warna yang cerah seperti putih, kelabu, kuning dan pastel adalah warna paling sesuai digayakan ketika musim panas.

"Berdasarkan Kajian Institut Kebangsaan Pengajian Alam Sekitar pada 2014 di Jepun juga mendapati pakaian berwarna yang lebih terang memantul sinaran elektromagnet daripada matahari.

"Semakin gelap pakaian, bermakna semakin banyak cahaya diserap dan menyebabkan haba panas lebih ketara dirasai berbanding pemakai warna terang," katanya.

Pereka itu juga menyarankan orang ramai mengenakan pakaian jenis fabrik berserat asli seperti kapas, linen, viskos, sutera, sifon, rayon dan fabrik crepe.

"Fabrik serat asli selalunya lebih cepat menyerap peluh, selesa, aliran udara sempurna, versatil dan mudah dijaga.

"Pilihan siluet perlu berpotongan jenis longgar dan tidak melekat pada kulit. Ini membantu pengudaraan baik,"katanya.

Antara yang boleh atau selesa digayakan ketika cuaca panas, wanita boleh mengenakan gaun potongan A atau baju yang besar (baggy).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2023 @ 7:01 AM