MOHD Fekri menggunakan material krep como dan kapas Jepun, material ini dipilih disebabkan kainnya yang lembut, selesa digayakan dan tidak panas.
MOHD Fekri menggunakan material krep como dan kapas Jepun, material ini dipilih disebabkan kainnya yang lembut, selesa digayakan dan tidak panas.
Siti Zarinah Sahib


PADA tahun ini sekali lagi menyaksikan potongan baju Melayu berkonsepkan muat padan atau mengikut bentuk badan menjadi taruhan kebanyakan pereka.

Walaupun kelihatan rekaan sebegini tampak segak kerana menampakkan ketampanan dan keterampilan si pemakai, pastinya apa yang dipaparkan tidak semestinya selesa digayakan.

Bagi pemilik Rifal Exclusive Mohd Fekri Ahmad mengambil kira kehendak pelanggan dia terlebih dulu menjalankan kajian mengenai potongan setiap rekaan busana yang dihasilkannya.

Sebagai pereka muda dia mengakui kebanyakan anak muda lebih terarah kepada padanan mengikut bentuk badan sama seperti pakaian kasual mereka.

TAMPIL menggayakan potongan mengikut bentuk badan.
TAMPIL menggayakan potongan mengikut bentuk badan.

“Mengambil kira perkara ini, saya membuat beberapa perubahan terutama perincian zip pada bahagian sisi baju bagi memudahkan pemakaian. Begitu juga lengan yang sendat perlu disertakan zip agar mudah mengambil wuduk. Kedua-dua perkara ini harus diambil kira dalam rekaan baju Melayu agar memudahkan si pemakai menggayakannya. Dalam erti kata lain, busana dihasilkan bukan sahaja cantik di mata namun selesa dipakai,” katanya.

Selain digayakan pada pagi Syawal, potongan seakan kurta membolehkan jejaka mengenakannya pada hari-hari biasa atau ke acara keraian. Ia tidak keterlaluan kerana mereka boleh memadankan dengan denim atau slack.

“Sengaja saya menghasilkan dua fungsi untuk baju Melayu kerana ia dapat menjimatkan penggunaan. Kebiasaannya baju Melayu hanya dipakai pada hari Jumaat selepas itu akan tersimpan kemas dalam almari. Jadi menerusi potongan seakan kurta, ia lebih fleksibel,” katanya.

Menggunakan material krep como dan kapas Jepun, material ini dipilih disebabkan kainnya yang lembut, selesa digayakan dan tidak panas. Ia juga sesuai untuk material baju Melayu kerana bersifat lasak.

“Saya sangat teliti dari segi pemilihan fabrik kerana berasakan ia menjadi pilihan pertama pelanggan selain warna dan potongan. Sebab itu saya perlu menggunakan fabrik berkualiti yang mudah digosok dan sejuk terutama dalam keadaan cuaca panas di Malaysia,” katanya yang menggunakan latar belakang Paris dan London sebagai lokasi penggambaran bagi menyuntik kelainan.

POTONGAN baju Melayu ikut bentuk badan ambil kira zip sisi baju  untuk mudahkan pemakaian.
POTONGAN baju Melayu ikut bentuk badan ambil kira zip sisi baju untuk mudahkan pemakaian.

Selain baju Melayu, dia turut mengetengahkan kurta sebagai pilihan kedua buat mereka yang inginkan persalinan selepas menunaikan solat atau pada hari raya kedua.

“Walaupun asalnya potongan ini dari Timur Tengah, menerusi idea dan kreativiti pereka menyebabkan ia mudah diterima pelanggan. Malah pelbagai jenis kurta dijual dengan warna berbeza,” katanya.

Hadir dengan 12 warna terang dan pastel bagi memberikan pilihan kepada jejaka menggayakannya. Setiap busana boleh diperoleh menerusi dalam talian atau datang sendiri ke butik yang terletak di studio Ayer Keroh Melaka, baju Melayu dijual pada harga RM220 (harga biasa) dan RM170 (harga promosi). Pada masa akan datang Mohd Fekri berharap dapat mengembangkan rekaannya ke luar negara selain menjadi pereka baju Melayu dan kurta nombor satu di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mei 2019 @ 5:00 AM