MERAH jambu lembut dengan perincian manik pada busana menyerlahkan sisi si pemakai.
MERAH jambu lembut dengan perincian manik pada busana menyerlahkan sisi si pemakai.
BLAUS potongan tangan ala Saloma boleh dipadankan dengan seluar denim.
BLAUS potongan tangan ala Saloma boleh dipadankan dengan seluar denim.
FABRIK tweed menjadi pilihan masa kini.
FABRIK tweed menjadi pilihan masa kini.
POTONGAN kurung moden dipadankan skirt warna yang sama.
POTONGAN kurung moden dipadankan skirt warna yang sama.
Siti Zarinah Sahib


Runway Duchess, jenama fesyen yang tidak asing lagi dalam industri fesyen Malaysia memperkenalkan koleksi terkini yang lebih versatil dengan rekaan selari perkembangan fesyen dalam dan luar negara.

Menurut pengasas bersama Runway Duchess, Nadya Sulaiman, 29, dan Hafiz Haniff, 29, yang bermula dengan aktif dalam transaksi jual beli pakaian secara dalam talian sejak 2009, timbul idea menubuhkan jenama sendiri dan memulakan perniagaan secara serius pada 2014.

Nadya yang pernah bekerja di sebuah bank di Jakarta melihat potensi untuk berurus niaga pakaian apabila sering melawat banyak kilang fabrik di sana.

“Pengalaman di Indonesia saya gunakan sebaik mungkin untuk meneroka potensi perniagaan di sini. Selama di Indonesia saya melihat wanita tidak pernah ketinggalan mendapatkan rekaan terbaru setiap kali ada di pasaran. Malah busana dengan potongan terkini sentiasa mendapat tempat di hati wanita asalkan ia berkualiti dan memenuhi cita rasa mereka,” katanya.

Oleh itu, pendekatan pertama pereka apabila memperkenalkan rekaan pakaian wanita mengikut arus perkembangan fesyen tempatan dan pengaruh fesyen global, lebih feminin serta selesa dipakai terutama dalam keadaan cuaca panas di Malaysia.

Kebanyakan pakaian Runway Duchess menggunakan material berkualiti dengan mengetengahkan potongan beralun, longgar, labuh dan selesa.

“Kami memastikan hanya material berkualiti tinggi digunakan. Bagi menyerlahkan penampilan, perincian manik digunakan dalam kebanyakan pakaian. Manik ini lebih menyerlah dan hadir dalam pelbagai bentuk dan warna. Manik pada blaus pula rekaan pengenalan untuk jenama kami,” ujarnya.

Pengenalan busana berperincian manik itu antara lain untuk kekal eksklusif.

“Selain pakaian kasual untuk wanita berkerjaya, terdapat juga pilihan busana bagi acara formal. Pelanggan boleh menggayakan baju bermanik daripada Runway Duchess untuk majlis perkahwinan atau perayaan serta boleh memadankan pakaian yang sama secara kasual bersama seluar denim. Ini bagi menjimatkan kos terutama mereka yang gemar menyuai padan,” tambah Hafiz pula.

Menyentuh mengenai koleksi terbaru, Runway Duchess menampilkan rekaan feminin dan terkni namun masih mementingkan keselesaan dan gaya.

“Untuk kelihatan lebih formal, pelanggan biasanya memadankan baju bermanik dengan skirt. Untuk padanan kasual pula, kardigan kimono labuh didatangkan dengan pelbagai warna menarik, sesuai dipakai dengan seluar untuk mendapatkan gaya lebih santai pada hujung minggu.

“Setiap koleksi baju bermanik juga boleh dipadankan dengan seluar. Kami turut menjual baju kurung yang boleh dibeli secara set atau pelanggan boleh memilih untuk membeli baju atau skirt secara berasingan. Pembelian secara berasingan ini membolehkan pelanggan menyuai padan pakaian mengikut cita rasa tersendiri,” kata Nadya.

Runway Duchess juga amat menitikberatkan kualiti jahitan dan hanya pakaian yang melepasi proses pemeriksaan saja dijual kepada pelanggan. Untuk itu, jenama ini tidak mengeluarkan produk yang tidak berkualiti bagi mengekalkan imej eksklusif rekaan.

Menurut Nadya dan Hafiz, kebanyakan koleksi mereka sesuai dipakai setiap wanita sama ada berbadan kurus mahupun gempal kerana jenama ini menyediakan saiz S hingga XL.

Rekaan yang dikeluarkan juga selesa tetapi tetap mengekalkan gaya terkini. Sasaran rekaan kepada golongan pelajar, profesional, suri rumah mahupun ibu mengandung.

Untuk fabrik pula, kedua-duanya sepakat memilih fabrik beralun dan lembut seperti dull satin, sifon, kapas Jepun dan crepe sesuai dengan cuaca yang panas dan lembap sepanjang tahun. Penggunaan fabrik berkualiti memberikan ruang pengudaraan yang baik dan menjadikan koleksi ini pilihan wanita.

“Selain material berkualiti dan potongan menawan, kami cuba menggunakan material yang tidak jarang agar sesuai digayakan pelanggan berhijab.

“Pilihan warna pastel merah jambu lembut, hijau pudina, ungu merah jambu, krim dan biru lembut menjadi keutamaan. Namun rona terang dan gelap seperti merah jambu terang, kuning, magenta, biru nila dan hitam juga digunakan untuk beberapa rekaan.

“Untuk setiap warna, kami menyediakan perincian manik sesuai dengan tema pilihan. Penggunaan manik berbentuk penuh, jenis akrilik dan kaca daripada pelbagai warna dan jenis digunakan untuk mendapatkan hasil menarik,” kata Hafiz.

Secara keseluruhan, Runway Duchess menawarkan lima rekaan baru dengan 26 pilihan warna. Kelainan pada rekaan ialah penambahan penggunaan renda Perancis, material tweed yang disukai ramai dan sulaman pastel bercorak bunga yang bakal membuat si pemakai kelihatan lebih elegan, romantis dan menawan.

Koleksi pakaian ini boleh didapati pada harga RM99 hingga RM499 manakala untuk koleksi terbaru bermula daripada harga RM299. Selain Instagram, Facebook dan laman sesawang, pelanggan boleh mendapatkan koleksi ini di enam butik vendor di Damansara Perdana, Taman Tun Dr Ismail, Bangi, Bangsar, Johor Bahru dan Brunei. Runway Duchess juga berada di laman sesawang Fashion Valet & Garderobe.

“Kami berharap dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa dalam masa terdekat. Setakat ini, kami sudah mempunyai pelanggan dari pelbagai negara termasuk Singapura, Brunei, Jepun dan Amerika Syarikat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:02 AM